PELABUHAN KLANG - Kepulangan jenazah dan mayat mangsa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang dijangka tiba selepas Aidilfitri akan diberi penghormatan dalam adat istiadat ketenteraan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Kabinet telah membuat ketetapan agar beliau dan kementeriannya mengetuai upacara terbabit.
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan mengetuai urusan pengebumian jenazah mangsa beragama Islam.
"Manakala urusan pengebumian mangsa bukan beragama Islam akan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup," katanya selepas menghadiri majlis iftar bersama warga Kementerian Pertahanan di Pusat Hidrografi Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pulau Indah di sini hari ini.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin, Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Tan Sri Rodzali Daud.
Hishammuddin berkata, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim pula akan mengetuai urusan hal ehwal keluarga.
Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan persiapan teliti dilakukan bagi menyambut kepulangan jenazah dan mangsa MH17 yang terhempas di sempadan Ukraine-Rusia dipercayai akibat ditembak peluru berpandu.
"Seterusnya kita hanya kita menunggu maklum balas dari Amsterdam, Belanda," katanya.
Dalam perkembagan berkaitan, Hisamuddin memberitahu komited kerajaan untuk mencari pesawat MAS MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing,China tidak pernah diketepikan.
Sehubungan itu, maklum beliau, komunikasi antara kerajaan dengan Australia dan China telah dipertingkatkan. - Kosmo!
No comments:
Post a Comment