Translate

Friday, December 27, 2013

Penyamun tinggal di belakang kedai telefon

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH – Kes pecah masuk sebuah kedai menjual telefon bimbit di Kampung Tengku Hussein, Gugusan Manjoi dekat sini dua minggu lalu rupa-rupanya dilakukan oleh empat sekawan termasuk seorang wanita yang tinggal di sebuah rumah di belakang premis tersebut.
Kesemua suspek iaitu tiga remaja lelaki berusia 18 dan 19 tahun serta wanita berusia 29 tahun itu diberkas dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 1.30 pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, dalam kejadian pada 11 Disember lalu, kedai menjual telefon bimbit tersebut telah dipecah masuk melibatkan kerugian hampir RM25,000.

"Antara yang dilaporkan hilang adalah 25  telefon  bimbit baharu, 15  telefon  bimbit pelanggan yang dihantar untuk diperbaiki, sebuah komputer riba dan kad prabayar pelbagai syarikat pengendali telekomunikasi.

"Siasatan yang dijalankan membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Kampung Tengku Hussein pada awal pagi tadi (semalam)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.Turut hadir Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong.

Paramasivam berkata, dalam pemeriksaan badan yang dibuat ke atas dua suspek berusia 18 tahun dan 19 tahun berhampiran rumah mereka di kampung berkenaan, polis menemui tiga  telefon  bimbit dan dua keping kad prabayar yang dipercayai barangan samun.

Menurutnya, polis kemudian memberkas dua lagi suspek iaitu seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan seorang wanita berusia 29 tahun yang berada di dalam rumah tersebut.

"Selepas pemeriksaan dilakukan di rumah berkenaan, polis menemui enam  telefon  bimbit, sebuah beg, dua komputer tablet, tiga fon telinga dan 58 kad prabayar.

"Siasatan awal polis mendapati, kesemua barangan yang dirampas itu dipercayai dicuri dari  kedai  menjual  telefon  bimbit yang dipecah masuk pada 11 Disember lalu," katanya.

Paramasivam memberitahu, kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga lusa bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment