Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
PEMAIN kelahiran Brazil, Anderson Rodrigues Cardoso semakin hampir untuk menyertai Perak selepas berjaya mempamerkan prestasi memberangsang sejak diserapkan sebagai pemain percubaan pada 27 November lalu.
Ketua jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim berkata, kemampuan dan kelincahan bekas pemain kelab Brazil, EC Taubate setiap kali berada di depan pintu gol telah menarik minat panel penilaian Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang diketuai beliau.
“Setakat ini, dia paling menonjol berbanding enam penyerang import lain yang turut mencuba nasib untuk menyertai pasukan.
"Dia berjaya meledak dua gol dalam kedua-dua penampilannya bersama skuad Perak pada perlawanan ujian menentang Super Star FC dan Melaka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Ipoh semalam.
Selepas menewaskan Super Star FC 2-0 pada 27 November lalu, Perak diikat Melaka 1-1 dalam perlawanan ujian kelima yang berlangsung di Stadium Kubu, Melaka pada kelmarin.
Begitupun, Abu Bakar menjelaskan, pengurusan PAFA masih melakukan penilaian sebelum memuktamadkan kontrak dengan pemain Brazil yang berusia 27 tahun tersebut.
Beliau memberitahu, selain Cardoso, PAFA turut mempertimbangkan seorang penyerang import dari Columbia yang dijangka tiba pada hari ini.
“Pemain bermain lewat 20-an yang beraksi Liga Peru tersebut telah dicadangkan oleh Ketua Jurulatih Akademi Bolasepak PAFA, Marshall Soper.
“Dia akan dinilai dalam masa terdekat. Sekiranya menepati kriteria dikehendaki, saya akan mencadangkan pengurusan untuk mengambil Cardoso dan pemain tersebut,” katanya.
Abu Bakar berkata, pemilihan pemain import terakhir tersebut akan melengkapkan skuad Seladang yang turut dibarisi kapten bawah 23 tahun Myanmar, Kyaw Zayar Win, 22 dan Martin Kafando, 25, dari Burkina Faso.
No comments:
Post a Comment