IPOH - Kepayahan ibu mencari rezeki bagi menyara keluarga menjadi perangsang kepada seorang pelajar anak Orang Asli untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 yang diumum semalam.
Ere Yan Bah Dim, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sheikh Abdul Ghani, Bidor dekat sini memperoleh 7A, sekali gus muncul pelajar tunggal daripada komuniti peribumi berkenaan di Perak yang mendapat gred A dalam semua subjek yang didudukinya.
Dia yang berasal dari Kampung Chang, Bidor berkata, ibunya, Keretina Bahdahman, 36, terpaksa menyara keluarga sendirian setelah ayahnya, Bah Din Thatoh, 41, tidak mampu bekerja berikutan mengalami kecederaan tulang belakang kekal kira-kira lapan tahun lalu.
“Dengan pendapatan lebih kurang RM900, dia menyara keluarga termasuk menyekolahkan kami tiga beradik.
"Ia membuatkan saya berazam belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarga,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu di Marang, Terengganu, pelajar keperluan khas, Nur Aimi Yasirah Mohamad Samsor, 15, berjaya membuktikan bahawa kecacatan fizikal tidak menghalangnya untuk cemerlang dengan mendapat 9A.
Menurut pelajar yang kudung tangan kanan dari paras siku sejak lahir itu, kekurangan tersebut menyebabkan dia sering berasa rendah diri dan membataskan kemampuannya untuk aktif dalam bidang lain.
"Salah satu cara untuk membuktikan kebolehan adalah dengan belajar bersungguh-sungguh.
"Saya rasa sangat puas kerana walaupun kudung, saya juga dapat merasai kegembiraan pada hari ini.
"Kejayaan ini saya hadiahkan kepada ibu dan ayah yang banyak memberi dorongan," katanya.
No comments:
Post a Comment