Translate

Friday, December 20, 2013

Jurukimpal jumpa bayi ditinggal atas jalan tar

IPOH - Seorang  bayi  perempuan nyaris maut akibat kepanasan selepas ditinggalkan di atas jalan tar di belakang deretan rumah kedai baharu yang masih belum berpenghuni di Taman  Lapangan   Setia  di sini semalam.
 Bayi  yang dianggarkan berusia kurang 24 jam itu bernasib baik apabila tangisannya didengari seorang jurukimpal yang kebetulan sedang melakukan kerja-kerja pendawaian di sebuah lot di deretan rumah kedai berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, ketika ditemui pada pukul 10.20 pagi,  bayi  yang cukup sifat dan bertali pusat itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan tertiarap di atas jalan bertar dengan mukanya menghadap penutup besi longkang.

"Jurukimpal yang mendengar bunyi tangisan berkenaan telah menjumpai  bayi  tersebut di lorong belakang deretan rumah kedai itu sebelum memaklumkan penemuan itu kepada penyelianya.

"Anggota polis yang bergegas ke tempat kejadian mendapati  bayi  itu masih bernyawa dan terus menghantarnya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk menerima rawatan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Ahmad Termizi berkata, walaupun sebahagian badan  bayi  perempuan tersebut sedikit kemerahan kerana kepanasan akibat ditinggalkan di atas jalan bertar dalam cuaca panas terik, keadaannya dilaporkan stabil.

Menurut beliau,  bayi  tersebut telah diletakkan di bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang  bayi  yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.

No comments:

Post a Comment