Translate

Monday, July 22, 2013

Remaja hilang mati dibunuh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING – Penantian sebuah keluarga untuk melihat anak lelaki mereka yang hilang sejak Jumaat lalu pulang ke rumah bertukar tragedi apabila mangsa ditemui mati dibunuh sebelum mayatnya dicampak di kawasan belukar di Taman Mewah, Kamunting dekat sini semalam.
Mayat M. Nathaniel, 14, ditemui di dalam belukar berhampiran deretan bangunan komersial yang masih belum berpenghuni iaitu kira-kira lima kilometer dari rumahnya di Taman Palma 2B.
Ketika ditemui pada pukul 7.50 pagi oleh orang awam, mayat mangsa yang dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di situ dijumpai dalam keadaan tertiarap dengan kesan kelar di seluruh badan termasuk di leher.
Orang awam yang menemui mayat itu kemudian terus menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd. Diah berkata, mangsa tinggal di Taman Palma 2B, Kamunting kira-kira lima kilometer dari lokasi mayatnya ditemui.

Katanya, sebelum dibunuh, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini itu didapati tidak pulang ke rumah selepas keluar pada pukul 8.30 malam Jumaat lalu.

"Mangsa yang pulang dari sekolah pada ketika itu dikatakan berjumpa dengan kawan-kawannya. Namun mangsa tidak memberitahu siapa dan di mana tempat dia pergi kepada ahli keluarganya.

"Kita percaua mangsa telah dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di kawasan belukar berkenaan. Kita masih menyiasat motif kejadian dan akan mendapatkan keterangan daripada rakan-rakannya untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati mayat Nathaniel mempunyai beberapa kesan kelar dipercayai menggunakan senjata tajam.

Menurut Yusuf, mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping di sini untuk dibedah siasat.

Kes bunuh itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment