Translate

Wednesday, July 24, 2013

Econsave bantu keluarga miskin sambut raya

TAIPING - Kesyukuran terpancar pada wajah 30 keluarga kurang berkemampuan sekitar bandar ini apabila berpeluang berbelanja barangan keperluan secara percuma di pasar raya  Econsave   Kamunting  dekat sini semalam.

Pengurus Cawangan  Econsave   Kamunting , R. Jayanthi berkata, pihaknya bermurah hati memberi baucar RM200 kepada setiap keluarga tersebut bagi membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Beliau berkata, program amal tahunan yang sudah berlangsung sejak tiga tahun lalu itu merupakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat pasar raya  Econsave  cawangan berkenaan bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

"Diharap dengan bantuan ini, sedikit sebanyak turut memberi kegembiraan kepada keluarga tidak bernasib baik itu bagi menjalani ibadah puasa dan meraikan hari raya.

"Kami bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak cawangan Taiping bagi menjayakan program amal ini," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Turut hadir Penolong Pegawai Baitulmal Taiping, Abdul Hadi Abu Saed dan Ketua Bahagian  Econsave   Kamunting , Mohamad Shahazudin Manaf.

Jayanthi berkata, beliau difahamkan keluarga yang menerima bantuan program amal tersebut terdiri daripada penerima bantuan zakat daripada asnaf fakir miskin dan mualaf.

Katanya, sebanyak 2,000 bungkus bubur lambuk turut diedarkan kepada pelanggan pasar raya tersebut pada program sama.

No comments:

Post a Comment