Translate

Tuesday, July 16, 2013

Dua beranak parah ditembak

KAMPAR – Tiga penjenayah bergelar Geng Hilux bertindak kejam apabila bukan sahaja melarikan pelbagai barangan berharga malah tergamak menembak dua beranak ketika mangsa cuba mempertahankan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux milik mereka dari dilarikan suspek kelmarin.
Kejadian di Taman Sejahtera di sini pada pukul 8.30 malam itu mencederakan seorang tauke kedai runcit, Zahari Din, 51, dan anak lelakinya, Zaharith Aiman Mahami, 13, apabila satu das tembakan yang dilepaskan menembusi perut Zahari sebelum mengenai paha kanan remaja tersebut.
Bagaimanapun, dosa tak terampun yang dilakukan penjenayah kejam tersebut berbalas apabila salah seorangnya ditangkap tiga jam kemudian selepas terlibat dalam kemalangan sewaktu dihambat polis peronda yang dapat mengesan kelibatnya di Jalan Langkap-Kampar, Tapah, kira-kira 20 kilometer dari sini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, kejadian berlaku apabila tiga penjenayah bersenjatakan parang, pistol dan memakai topeng tersebut menyerbu masuk ke dalam rumah mangsa ketika Zahari, isteri dan anaknya sedang berehat di ruang tamu.
Katanya, suspek kemudian merampas dua buah telefon bimbit, kunci Toyota Hilux, kunci rumah, kad pengenalan, buku cek dan buku akaun Tabung Haji.
“Zahari kemudian nekad mengambil sebilah parang untuk mempertahankan diri sewaktu salah seorang penjenayah cuba menghidupkan 4WD tersebut yang diletakkan di halaman rumah.

"Melihatkan mereka diancam, salah seorang penjenayah bertindak melepaskan satu das tembakan yang menembusi perut mangsa sebelum mengenai pula paha kanan anaknya yang berada berdekatan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Suspek kemudian melarikan diri ke arah Teluk Intan dengan menaiki sebuah kereta Proton Perdana berwarna gelap tanpa melarikan 4WD milik mangsa.

Menurut Paramasivam, ketika dalam perjalanan, suspek sempat menyamun seorang tauke kilang besi di Jalan  Kampar , Langkap, Teluk Intan.

"Bagaimanapun, lelaki berusia 31 tahun tersebut tidak cedera meskipun lehernya diacukan parang. Suspek kemudian melarikan Toyota  Hilux  mangsa, wang RM6,000, dua buah telefon bimbit, seutas rantai, sebentuk cincin dan loket," katanya.

Ujar Paramasivam, polis yang melakukan sekatan jalan raya kemudian mengesan kelibat salah seorang suspek yang menaiki kereta Proton Perdana pada pukul 11.30 malam di Jalan Langkap- Kampar , Tapah kira-kira tujuh kilometer dari tempat pengusaha itu disamun, mencetuskan insiden kejar-mengejar.

"Ketika cuba melarikan diri, kereta dinaiki suspek berusia 33 tahun itu kemudian telah masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga dinaiki tiga sekeluarga.

"Ekoran kemalangan itu, kedua-dua belah kaki suspek patah dan dia ditahan manakala tiga sekeluarga itu cedera ringan. Pemeriksaan di dalam kereta dinaiki suspek menemui beberapa barangan yang dicuri di rumah Zahari," katanya.

Tambahnya, siasatan awal mendapati kedua-dua kejadian samun itu bermotifkan untuk melarikan 4WD berkenaan kerana polis mengesyaki suspek terlibat dengan 10 kes kehilangan kenderaan jenis itu di Perak sejak awal tahun ini.

"Kesemua kes itu melibatkan modus operandi yang sama iaitu memakai topeng, bersenjatakan parang dan pistol ketika menyamun," katanya.

Zahari dan anaknya kini stabil selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Polis sedang mengenal pasti dua lagi penjenayah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata api 1971 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tinjauan di rumah Zahari mendapati ia tidak berpenghuni namun kenderaan Toyota  Hilux  yang menjadi sasaran samun masih berada di halaman rumah tersebut.

No comments:

Post a Comment