Translate

Tuesday, August 28, 2012

Penipu pakai rambut palsu dicekup

 IPOH - Kelicikan seorang lelaki yang memakai rambut palsu dan cermin mata hitam untuk memperdaya 10 peniaga kain di sekitar Perak sejak awal Ramadan lalu berakhir apabila dia diberkas baru-baru ini.

Suspek berusia 46 tahun tersebut diberkas ketika cuba memperdaya seorang peniaga pasar larut  malam ,  Gerbang   Malam  di sini pada 17 Ogos lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan (gambar kecil) berkata, suspek disyaki melarikan barangan seperti kain batik, kain pelikat, telekung, kelambu, sejadah, selimut dan lampu suluh bernilai RM31,293 dengan menyamar sebagai pembeli.

"Suspek akan memakai rambut palsu dan cermin mata hitam untuk menyamar. Dia juga sering menukar kereta dan menggunakan nombor pendaftaran palsu untuk mengelakkan daripada dikesan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.

Tambahnya, selain tangkapan, polis turut merampas rambut palsu, nombor pendaftaran palsu, kain pelikat dan telekung serta sebuah kereta jenis Perodua Viva.

Menurut Mohd. Shukri, modus operandi suspek ialah menyamar sebagai pembeli untuk memborong kain batik, kain pelikat, telekung, kelambu dan sejadah.

"Suspek kemudian akan berpura-pura mengatakan tidak cukup duit lalu mengajak peniaga terbabit mengikutnya ke bank berhampiran.

"Namun sebaik sahaja mangsa turun dari kereta di hadapan bank, lelaki itu akan memecut bersama barangan berkenaan," katanya.

Ujar Mohd. Shukri, suspek juga menggunakan beberapa kenderaan berlainan seperti Perodua Viva, Perodua Kancil, Hyundai dan Proton Iswara bagi mengelirukan mangsa dan pihak berkuasa.

"Susulan itu, kita menahan empat lagi lelaki termasuk dua warga Bangladesh berusia antara 20 hingga 75 tahun yang dipercayai pembeli barangan curi tersebut," katanya yang memberitahu kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

No comments:

Post a Comment