Translate

Sunday, August 26, 2012

Bina monumen peringatan Pertempuran Kampar yang bersejarah

 KAMPAR - Demi kecintaan terhadap sejarah, seorang lelaki tempatan, Harchand Singh Bedi membina sebuah  monumen  peringatan lokasi Pertempuran  Kampar  yang terletak di Rabung Hijau, Gunung Bujang Melaka di sini baru-baru ini.

Harchand berkata,  monumen  peringatan tersebut yang dibina dengan kerjasama Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Kuala Dipang itu ditujukan khas kepada 9,000 tentera yang terkorban dalam pertempuran tersebut.

"Tidak wajar Rabung Hijau merupakan tapak bersejarah yang mengabadikan peristiwa bersejarah Pertempuran  Kampar  yang berlaku 71 tahun lalu dibiarkan begitu sahaja.

"Pembinaan  monumen  peringatan yang memakan kos kira-kira RM20,000 tersebut merupakan fasa pertama untuk memperkenalkan lokasi ini di mata dunia," katanya kepada Kosmo! di sini.

Harchand berkata, selepas ini, beliau dan PBTM cawangan Kuala Dipang yang dipengerusikan Peter Chai akan menyiapkan sebuah galeri sejarah di lokasi terbabit.

Beliau berkata, fasa ketiga pula ialah membina sebuah muzium cahaya dan bunyi bagi menceritakan latar peristiwa Pertempuran  Kampar  yang berlaku antara 30 Disember 1941 hingga 2 Januari 1942.

Pertempuran selama empat hari itu dianggap antara pertempuran paling sengit dalam usaha tentera British untuk menyekat kemaraan tentera Jepun menawan Tanah Melayu dan Singapura.

Lokasi Rabung Hijau yang masih terdapat kesan-kesan pertempuran dan kubu perang terletak kira-kira 50 meter dari Jalan Ipoh - Kuala Lumpur berhampiran pasar raya besar Tesco,  Kampar .

No comments:

Post a Comment