IPOH - Seorang ibu tunggal ditahan manakala kekasih wanita itu dicari selepas mereka disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun sehingga mangsa meninggal dunia kelmarin.
J. Pavitra meninggal dunia di Klinik 1Malaysia Kampung Tawas pada pukul 5.20 petang selepas ibunya membawa mangsa ke klinik selepas mendakwa anaknya terjatuh dari katil.
Suspek berusia 33 tahun dan sudah kematian suami akibat kemalangan pada tahun lalu ditahan ketika dia menunggu mayat anak bongsunya di Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada pukul 11.20 pagi semalam.
Penahanan ibu kepada empat tahun itu sangat mengejutkan ahli keluarganya yang turut berada di HRPB dan menunggu untuk menuntut mayat kanak-kanak itu.
“Kenapa tangkap saya?,” tanya ibu tunggal itu sambil menangis kepada anggota polis yang menahannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, suspek bersama anak bongsunya yang menetap di sebuah bilik yang disewa di Kampung Tawas, Tasek di sini mendakwa anak bongsunya demam setelah terjatuh dari katil di rumahnya pagi kelmarin.
"Pavitra yang semakin lemah dibawa untuk mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia Kampung Tawas namun sebaik tiba di klinik tersebut, doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya.
Menurut beliau, hasil bedah siasat mengesyaki kematian Pavitra disebabkan penderaan berikutan penemuan banyak kesan lebam dan luka lama di badan mangsa.
"Punca kematian mangsa akibat kecederaan dalaman di bahagian kepala," kata beliau.
Azisman memberitahu, suspek ditahan untuk diambil keterangan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis pada pukul 5 petang semalam menahan teman lelaki suspek wanita bagi membantu siasatan kematian Pavitra.
Sementara itu, nenek Pavitra, L. Vijaya, 50, memberitahu anak perempuan dan cucunya baru berpindah dari rumahnya di Taman Impiana, Menglembu di sini ke Kampung Tawas kira-kira sebulan lalu.
Menurut Vijaya, dua anak lelaki suspek masing-masing berusia 14 dan 15 tahun tinggal di rumah kebajikan di Taiping manakala anak ketiga suspek juga lelaki yang berusia lima tahun dijaga oleh seorang ahli keluarga bekas suaminya.
No comments:
Post a Comment