Translate

Monday, August 27, 2012

Kartika kini pengurus resort berjaya

 SUNGAI SIPUT - Bekas model,  Kartika  Sari Dewi Shukarnor yang pernah mencetus kontroversi sebagai wanita pertama diperintah Mahkamah Syariah menjalani hukuman sebat atas kesalahan meminum arak kini komited menguruskan sebuah  resort  di Kampung Jawang, Karai dekat sini.

Di bawah pengurusan  Kartika , 35, (gambar kecil)  Resort   Lang   Buana  yang dimiliki bapanya, Shukarnor Abdul Mutalib, 63, semakin laris dan dikenali sebagai pusat motivasi, latihan dan aktiviti luar melibatkan kegiatan sungai.

"Sejak kehilangan anak sulung (Mohd. Azfar, 9,) pada Mei tahun lalu, saya mula serius mengambil bahagian dalam pengurusan  Resort   Lang   Buana .

"Sambutan terhadap  resort  ini semakin memberangsangkan. Kami mendapat permintaan untuk menganjurkan program motivasi dan latihan hampir setiap hujung minggu walaupun pada bulan Ramadan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

 Kartika  berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta kakitangan badan korporat dan sektor awam dari seluruh negara.

Ujarnya, tumpuan dia kini hanya kepada keluarga khususnya satu-satu anak yang tinggal, Wann Kaitlynn  Kartika , 7, dan mengembangkan lagi  Resort   Lang   Buana .

"Pengalaman lalu menjadikan saya lebih tabah dan positif mengharungi kehidupan dan cabaran mendatang," katanya.

Sejurus selesai menjalani hukuman khidmat masyarakat selama tiga minggu bermula 2 April 2010 di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan,  Kartika  telah menuntut ilmu agama di Kedah.

Hukuman khidmat masyarakat tersebut sebagai ganti kepada hukuman enam sebatan kerana minum arak setelah diringankan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selepas  Kartika  menghadap Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah pada 3 Mac 2010.

Terdahulu anak ketiga kepada pasangan Shukarnor dan Wan Badariah Meor Abdul Salim, 55, itu dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 pada 18 Julai 2009 selepas didapati bersalah minum arak di sebuah  resort  di Cherating, Kuantan.

No comments:

Post a Comment