Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Kesukaran lebih 1,000 penduduk Kampung Razak , Gugusan Manjoi di sini yang sebelum ini mengalami masalah perhubungan kerana jambatan konkrit di kampung tersebut menuju ke Jalan Kuala Kangsar dan pusat Gugusan Manjoi runtuh sejak setengah tahun lalu bakal berakhir tidak lama lagi.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, sebuah jambatan baharu sepanjang 33 meter yang merentangi Sungai Pari di sini sedang dibina dengan peruntukan RM20,000.
" Jambatan sementara itu mampu menampung muatan sehingga 25 tan dan ia dijangka dapat disiapkan dalam tempoh seminggu dan sudah boleh digunakan akhir bulan ini.
" Jambatan itu untuk kemudahan penduduk Kampung Razak yang sebelum ini menghadapi kesukaran berhubung setelah jambatan konkrit sedia ada runtuh akibat banjir besar awal tahun ini," katanya ketika meninjau perkembangan pemasangan jambatan bailey di Kampung Razak , Gugusan Manjoi di sini semalam.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi, Datuk Nadzri Ismail dan Pegawai Daerah Kinta, Datuk Jamry Suri.
Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun memberitahu, jambatan baharu tersebut hanya bersifat sementara sebelum jambatan konkrit baharu dibina di perkampungan berkenaan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.
Kosmo! pada 21 Februari lalu melaporkan lebih 200 penduduk daripada 55 buah keluarga di Gugusan Manjoi, Taman Lim dan Buntong di sini terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara akibat kejadian banjir kilat.
Kesemua mereka dipindahkan ekoran air di beberapa batang sungai antaranya Sungai Pari dan Sungai Tapah melimpahi tebing.
No comments:
Post a Comment