Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH – Rahsia sekumpulan enam perompak yang menyembunyikan selama 26 hari 264 kotak mengandungi 700,000 keping kondom curi bernilai RM850,000 di sebuah gudang di Klang, Selangor terbongkar apabila polis menemui sebahagian besar alat kelengkapan seks itu kelmarin.
Kejayaan tersebut dicapai ekoran kerja keras polis menjejaki dan menahan enam penyamun berusia di antara 23 dan 46 tahun pada 15 Februari lalu sebaik menerima laporan mengenai kehilangan kondom tersebut 10 hari sebelum itu.
Selain itu, laporan meluas media turut membuatkan kesemua perompak bimbang akan ditahan sebelum menyembunyikan barang curi itu untuk dilupuskan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, rancangan tersebut gagal apabila polis terlebih dahulu menghidu kegiatan mereka hasil maklumat daripada salah seorang suspek.
Katanya, polis menemui 258 kotak yang setiap sati mengandungi 144 kotak kecil. Kotak kecil itu pula mengandungi enam keping kondom.“Sebanyak 255 kotak ditemui di gudang tersebut manakala tiga lagi dijumpai di sebuah rumah di Puchong, Selangor. Kita masih mencari bai enam kotak kondom tersebut.
"Soal siasat mendapati suspek berniat untuk melupuskan kondom itu kerana tidak menemui pembeli berikutan kegiatan mereka telah dibongkar oleh media," katanya di sini semalam.
Sebelum ini akhbar melaporkan sebuah kontena yang sepatutnya mengandungi kondom ultra nipis itu didapati kosong sebaik tiba di Tokyo, Jepun. Siasatan kemudian mendapati ia telah dicuri oleh sekumpulan lelaki sebelum kontena tersebut diserahkan ke Pelabuhan Klang Barat.
Menurut Mohd. Shukri, enam suspek yang bekerja pemandu lori kontena dan buruh itu ditahan di sekitar bandar raya ini, Bidor, Batu Gajah, Puchong dan Klang.
Empat daripada mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala bakinya masih ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah.
No comments:
Post a Comment