Translate

Tuesday, March 22, 2011

Hidu bau busuk selama dua tahun

Penduduk dakwa kipas kolam pembetungan IWK rosak, tidak diselenggara


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Gara-gara kipas mesin kolam rawatan air kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) tidak berfungsi, lebih 200 penduduk Desa Cempaka di sini menderita akibat pencemaran bau sejak dua tahun lalu.

Seorang penduduk, Liew Ni Pan, 69, mendakwa pengurusan IWK gagal menyelenggara mesin berkenaan walaupun ia telah mengalami kerosakan sejak 2009.

"Akibat masalah mekanikal itu, air kumbahan tidak dapat dirawat malah ia akan melimpah keluar ke dalam longkang berhampiran.

"Setiap hari kami yang tinggal berhampiran kolam rawatan air kumbahan berkenaan terpaksa menghidu bau busuk. Baunya semakin kuat pada waktu malam dan setiap kali hujan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak, Mohd. Ravi Abdullah turut turun padang semalam meninjau masalah terbabit setelah menerima aduan daripada penduduk berkenaan.

Seorang penduduk lain, Beh Lau Seng, 70, mendakwa, masalah pencemaran bau tersebut telah menyebabkan rutin kehidupan penduduk setempat terganggu.

"Hari-hari kena hidu bau busuk terutama pada waktu malam. Nak tidur dan makan pun tak selesa. Kami sampai malu nak terima kehadiran tetamu berkunjung ke rumah ekoran masalah ini," dakwanya.

Jirannya, Michelle Woo, 50, pula mendakwa, tiada langkah penyelesaian jitu diambil pengurusan IWK walaupun aduan telah diutarakan oleh penduduk sejak masalah tersebut timbul.

"Pihak terbabit macam acuh tak acuh terima aduan kami. Seingat saya tak pernah sekali pun mereka turun padang meninjau masalah ini sepanjang dua tahun lalu.

"Saya kesal kerana majoriti daripada penduduk sentiasa menunaikan kewajipan membayar bil pembetungan IWK tapi perkhidmatan yang diberikan tidak seperti dijanjikan," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Ravi berkata, beliau akan berkunjung sendiri ke ibu pejabat IWK cawangan Perak di sini dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah penduduk tersebut.

Beliau juga kesal kerana tiada seorang pun pegawai IWK hadir untuk membuat tinjauan dan bertemu penduduk bersamanya walaupun telah dijemput untuk berbuat demikian.

No comments:

Post a Comment