Translate

Friday, August 6, 2010

Nizar sekali kali buat kecoh

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Sidang Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Perak kecoh lagi semalam.

Ia bermula selepas Speaker, Datuk R. Ganesan mengarahkan Bentara DUN supaya merampas kamera kompak milik Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis).

Dia didapati merakam gambar video Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (BN-Pangkor) dari tempat duduknya semasa Menteri Besar itu sedang menjawab soalan lisan yang dikemukakan Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu).

Arahan itu mencetuskan ketegangan di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dan ada di kalangan mereka menjerit mempertikaikan kedudukan Ganesan selaku Speaker DUN Perak yang sah.

Bagaimanapun, Ganesan yang dilihat cuba berlembut dengan tindak-tanduk ADUN pembangkang sepanjang menjalankan tugasnya semalam tidak dapat mengelak daripada mengenakan tindakan tegas terhadap Mohammad Nizar Jamaluddin (Pas-Pasir Panjang) pada insiden selepas itu.

Biarpun diberi peluang lebih 25 minit membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2010 yang dibentangkan Zambry, bekas Menteri Besar itu terus berdiri meskipun tempoh masa ditetapkan kepadanya telah tamat.

Mohammad Nizar yang masih enggan duduk walaupun diberi amaran beberapa kali oleh Ganesan turut mengganggu perbahasan Datuk Ahmad Khusairi Abu Talib (BN-Slim).

Dia kemudian digantung daripada terus menghadiri persidangan tersebut semalam.

Kekecohan mula berlaku selepas usul supaya Mohammad Nizar digantung dipersetujui kesemua ADUN BN dan Bebas menyebabkan wakil rakyat pembangkang membantah.

Mohammad Nizar kemudian meninggalkan persidangan kira-kira pukul 1.20 petang dengan diikuti 25 wakil rakyat pembangkang lain.

Pada persidangan kali ini, BN menampilkan 28 wakil rakyat dan empat Bebas termasuk ADUN Malim Nawar, Kashwinder Singh yang mengumumkan keluar daripada DAP dua bulan lalu.

Semasa Penggal Pertama Sidang DUN Perak ke-12 pada 7 Mei 2008, V. Sivakumar (DAP-Tronoh) dilucutkan daripada jawatan Speaker DUN Perak dan digantikan dengan Ganesan.

Persidangan DUN Perak akan disambung semula pada Oktober depan bagi pembentangan Bajet 2011.

No comments:

Post a Comment