Translate

Friday, August 6, 2010

Budak diculik ketika balik mengaji


oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang budak perempuan berusia 11 tahun menghadapi saat cemas selama dua jam ketika dilarikan seorang lelaki yang memandu kereta Perodua Myvi sewaktu berjalan pulang ke rumahnya dari kelas mengaji al-Quran di Taman Meru 3C di sini malam kelmarin.

Semasa kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Jati termakan pujuk suspek yang berpura-pura meminta pertolongan menunjukkan sebuah kedai runcit yang menjual kad tambah nilai prabayar telefon bimbit.

Mangsa yang akur kepada permintaan lelaki itu terus menaiki kereta suspek sambil disaksikan oleh lima rakannya termasuk adik lelaki mangsa yang berusia sembilan tahun.

Selepas dua jam dibawa menaiki kereta, mangsa ditinggalkan di sebuah padang di Taman Kinta, Gopeng pukul 10.45 malam kelmarin iaitu kira-kira 45 kilometer (km) dari tempat kejadian.

Adik mangsa menceritakan, sebelum kejadian mereka sedang berjalan ke rumah yang hanya terletak 50 meter dari situ."Kami semua nampak ada kereta Myvi warna hijau berhenti dan ada seorang lelaki di dalam.

"Kakak kemudian masuk kereta itu selepas orang yang memandunya meminta ditunjukkan kedai tersebut," cerita kanak-kanak itu.

Bimbang dengan apa yang berlaku, dia bersama rakan-rakannya mengadu kepada guru kelas mengaji, Rapinah Yusoff, 59.

Menurut Rapinah, dia terus meminta adik mangsa segera memaklumkan kehilangan kakaknya kepada keluarga.

"Masa itu memang kelam-kabut sampai ibu bapa kanak-kanak itu tidak tentu arah mencari anak mereka di beberapa buah rumah kedai berdekatan,'' katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ibu bapa mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jelapang. Rapinah memberitahu, selepas cemas selama dua jam, mereka lega bila mendapat tahu mangsa ditemui semula dalam keadaan menangis dan ketakutan di Gopeng kira-kira pukul 10.45 malam.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam untuk pemeriksaan perubatan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut sambil berkata, usaha mengesan suspek masih dilakukan.

Menurut beliau, polis sedang menunggu laporan perubatan HRPB dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Akta Penculikan 1961.

Polis bagaimanapun menolak kaitan kes itu dengan satu lagi kes culik terhadap dua beradik perempuan berusia enam dan 16 tahun yang dilarikan bersama kereta Honda Accord milik bapa mereka di Jalan Sagor, Kuala Kangsar pada 26 Julai lalu.

Kosmo! 28 Julai lalu melaporkan, Nurul Fatin Farhana Dzulkafli, 16, dan Siti Haidar, 6, dilarikan oleh tiga lelaki ketika ibu bapa mereka leka memilih gambar di sebuah kedai foto di Kuala Kangsar.

Mereka kemudian ditinggalkan di Liman Kati, Kuala Kangsar kira-kira 30km dari tempat kejadian bersama kereta tersebut.

No comments:

Post a Comment