Translate

Friday, August 6, 2010

Menara jam merdeka masih gah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Salah satu keistimewaan yang ada di negeri Perak ialah tujuh daripada 10 daerah di negeri tersebut mempunyai menara jam .

Lebih menarik, kesemua menara jam yang berusia lebih 50 tahun itu dibina khas oleh penduduk setempat sempena memperingati tarikh kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Presiden Persatuan Warisan Perak, Mohd. Taib Mohamed berkata, antara lokasi menara jam tersebut ialah Parit Buntar, Parit, Sungai Siput, Ipoh, Kuala Kangsar serta Kampar.

Kesemua menara jam itu dibina pada tahun 1957.

"Semua menara jam terbabit dibina hasil wang derma sumbangan penduduk tempatan sendiri. "Ia kini menjadi lambang kebanggaan rakyat Perak bagi merayakan hari kebebasan negara daripada penjajahan asing," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, biarpun pembinaan menara jam tersebut menelan kos yang agak besar, dengan semangat merdeka yang berkobar-kobar ia berjaya disiapkan.

Sebagai contoh, katanya,menara jam besar di Sungai Siput dekat sini yang terletak di hadapan Mahkamah Majistret dibina dengan kos RM3,000 (nilai wang pada masa itu).

Katanya, ia hasil derma ikhlas penduduk pekan terbabit tanpa mengira perbezaan kaum dan agama.

Menara jam yang dirasmikan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra pada 20 Januari 1960 itu menunjukkan kebangkitan perpaduan masyarakat setempat yang berbilang kaum.

"Biarpun sudah berusia lebih 50 tahun, semua menara jam tersebut adalah monumen bersejarah yang masih berada dalam keadaan baik dan dijaga rapi," katanya.

No comments:

Post a Comment