Translate

Friday, August 6, 2010

Kereta mendiang Teng Peng ditemui di hutan paya

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.my

IPOH - Kenderaan pacuan empat roda Nissan Frontier berwarna kelabu milik ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM), mendiang Lim Ting Peng (gambar), 49, yang dipercayai mati dibunuh pekerjanya dijumpai polis semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, kereta mangsa ditemui di kawasan hutan paya bakau di Sungai Bata, Pantai Remis kira-kira 25 kilometer dari tempat kejadian pada pukul 10.30 pagi.

"Kereta Nissan Frontier milik mangsa dijumpai ditinggalkan di kawasan hutan paya bakau itu dalam keadaan elok dan kenderaan itu telah ditunda ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung," kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, polis kini mengesan dua pekerja warga Myanmar yang bekerja dengan mangsa bagi membantu siasatan.

"Keputusan bedah siasat oleh Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini mengesahkan Ting Peng mati akibat tetakan senjata tajam dipercayai parang di bahagian belakang kepalanya," kata beliau.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi Rumah Mayat HRPB setelah ahli keluarga mangsa gagal mengawal emosi sewaktu mayat mangsa dibawa keluar selepas bedah siasat.

Anak bongsu Ting Peng, Tommy Lim, 18, berkata, mayat bapanya akan dibawa pulang ke rumah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian Changkat Kruing , Beruas beberapa hari lagi.

Kosmo! semalam melaporkan Ting Peng yang juga Ketua MCA cawangan Changkat Kruing ditemui mati selepas lima hari dilantik sebagai ahli MPM.

Mangsa yang merupakan bapa kepada tiga orang anak lelaki berusia 18 hingga 22 tahun itu dihumban ke dalam sebuah perigi di ladang ayam dan itik milik mendiang selepas dia dibunuh.

No comments:

Post a Comment