Translate

Wednesday, August 11, 2010

Fotofit suspek culik diedar


IPOH - Polis mengedarkan fotofit seorang lelaki (gambar) yang dapat membantu pihaknya menjalankan siasatan mengenai kes penculikan seorang kanak-kanak perempuan di Taman Meru 3C di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya percaya lelaki itu berketurunan India, berusia 30-an, berkepala botak dan berbadan gempal.

“Suspek yang mempunyai ketinggian lebih kurang 1.7 meter masih bersembunyi di dalam Perak.

“Suspek juga melarikan diri bersama sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hijau," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dilarikan seorang lelaki yang memandu kereta tersebut sewaktu berjalan pulang ke rumah dari kelas mengaji al-Quran.

Semasa kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa yang termakan pujuk suspek yang berpura-pura meminta per tolongan menunjukkan sebuah kedai runcit yang menjual kad tambah nilai prabayar telefon bimbit.

Selepas dua jam dibawa menaiki kereta, kanak-kanak perempuan tersebut ditinggalkan di sebuah padang di Taman Kinta, Gopeng pukul 10.45 malam iaitu kira-kira 45 kilometer (km) dari tempat kejadian.

Sehubungan itu, Zulkifli meminta orang yang mempunyai maklumat supaya melayai laman web polisperak@rmp.gov.my, menghantar SMS ke 32128 atau hubungi balai polis terdekat.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli memberitahu tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes melarikan dua beradik perempuan d dalam kereta Honda Accord milik bapa mangsa di Kuala Kangsar pada 26 Julai lalu telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar semalam.

Beliau berkata, tiga tertuduh yang berusia 22 dan 26 tahun ditahan di Rantau Panjang, Kelantan pada 29 Julai lalu.

Salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah samun di Sungai Senam, Ipoh.

No comments:

Post a Comment