Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
BATU GAJAH - Seorang wanita menghadapi saat cemas apabila anak lelakinya berusia tiga tahun dilarikan seorang penjenayah selepas merampas kereta jenis Perodua MyVi miliknya di Taman Sepakat, Menglembu dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 9.45 malam itu berlaku apabila Wong Soon Loy, 32, turun seketika untuk membuka pintu pagar rumahnya dengan tidak menutup pintu dan mematikan enjin kereta. Ketika itu, anaknya, Yim Mun Chun tidur di tempat duduk belakang.
Penjenayah bertopi keledar itu kemudian terus meluru masuk ke dalam kereta sebelum mengunci pintu dan memecut.
Bagaimanapun, Soon Loy bernasib baik apabila anaknya itu ditinggalkan penjenayah terbabit kepada seorang warga emas di Kampung Muhibbah Ara Payung berhampiran landasan kereta api di sini kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian selepas dilarikan selama 45 minit.
Soon Loy ketika menceritakan semula kejadian itu memberitahu, sebelum kejadian dia dan anaknya baru pulang dari rumah saudaranya di taman perumahan berdekatan.
Katanya, sebaik sampai, dia kemudian keluar dari kereta untuk membuka pagar rumah tanpa mematikan enjin kereta dan menutup pintu pemandu.
"Seorang lelaki dalam lingkungan 20-an hingga 30-an meluru masuk ke dalam kereta dan terus menguncinya.
"Saya merayu supaya dia melepaskan anak saya yang sedang tidur di tempat duduk belakang tetapi dia enggan sebelum dia mengundurkan kereta dan memecut," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, dia kemudian bergegas membuat laporan di Balai Polis Menglembu di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata, Mun Chun telah diserahkan oleh penjenayah tersebut kepada seorang warga emas selepas 45 minit dia dilarikan.
Katanya, warga emas itu kemudian membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Batu Gajah di sini sebelum dipertemukan semula dengan ibunya pukul 12 tengah malam semalam."Mun Chun ditinggalkan kepada warga emas berkenaan yang kebetulan berada di lokasi kanak-kanak itu diturunkan. Suspek kemudian melarikan diri bersama kenderaan terbabit.
"Polis masih memburu suspek dan mencari Perodua MyVi hijau yang dilarikan. Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil di balai polis terdekat untuk membantu siasatan," katanya.
Kes Mun Chun merupakan kali ketiga melibatkan kanak-kanak dilarikan di dalam kereta di Perak dalam tempoh dua minggu.
Sebelum ini, dua beradik perempuan Nurul Fatin Farhana Dzulkafli, 16, dan Siti Haidar, 6, dilarikan bersama kereta Honda Accord milik bapa mereka di Jalan Sagor, Kuala Kangsar pada 26 Julai lalu.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pula dilarikan seorang lelaki yang memandu kereta Perodua MyVi hijau sewaktu berjalan pulang ke rumahnya dari kelas mengaji al-Quran di Taman Meru 3C di sini pada Khamis lalu.
No comments:
Post a Comment