IPOH - Gangguan bekalan elektrik akibat kecurian kabel dekat Taman Perindustrian Kanthan, Chemor dekat sini kelmarin menyebabkan ramai pengguna mengeluh.
Sebuah kilang menghasilkan produk kayu, Ivory Pearl Sdn. Bhd. (Ivory Pearl) kerugian puluhan ribu ringgit gara-gara gangguan bekalan elektrik tersebut.
Pengurus Ivory Pearl, Chin Kum Yoke, 49, berkata, kejadian tersebut turut merosakkan beberapa mesin yang pada waktu itu sedang beroperasi.
“Kami juga terpaksa mengarahkan lebih 200 pekerja balik awal sebab operasi sudah terhenti," katanya ketika ditemui semalam.
Kum Yoke bimbang produktiviti kilang itu terjejas sedangkan pihaknya sudah menerima banyak tempahan daripada pelanggan pada bulan ini.
Seorang penduduk, Sun Yoke Kuan berharap Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil iktibar daripada kejadian tersebut yang telah menyusahkan masyarakat setempat.
"Perbuatan mencuri kabel ini memang tidak bertanggungjawab.
"Masanya sudah sampai untuk TNB menggaji pengawal keselamatan untuk menjaga pencawang mereka sepanjang masa," katanya.
Penjual burger, Mohd. Rassol Yusri pula mengeluh kekurangan pelanggan sewaktu terputus bekalan elektrik.
“Saya terpaksa pakai lilin. Biasanya saya mampu jual kira-kira 100 biji burger tapi pada malam semalam (kelmarin) cuma 60 biji dijual,” katanya yang berniaga sehingga awal pagi setiap hari.
No comments:
Post a Comment