Translate

Tuesday, July 13, 2010

Kereta Peugeot Sedan Segmen C bakal dikeluarkan kilang di Gurun

IPOH - Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) yang merupakan pengedar rasmi model kereta Peugeot bakal mengeluarkan kenderaan terbaru jenama tersebut bagi Sedan segmen C.

Ketua Pegawai Eksekutif Nasim Sdn. Bhd. (Nasim), SM Nasaruddin SM Nasimuddin berkata, segmen tersebut dijangka berada di pasaran tempatan pada akhir tahun 2011.

“Segmen sedan yang akan dikeluarkan dalam dua model enjin iaitu 2 liter dan 1.6 liter itu akan dipasang di kilang milik kami di Gurun, Kedah.

“Ia bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi 40 peratus daripada pengeluarannya disasarkan untuk dieksport ke Asia dan Afrika,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Peugeot bagi pengeluaran model tersebut di sini semalam.

Peugeot diwakili Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Antarabangsa Peugeot Automobil, Jean-Philippe Imparato di sini semalam.

SM Nasaruddin berkata, keputusan untuk mengeluarkan segmen baru kereta Peugeot itu membuktikan pengeluar kenderaan dari Perancis itu berkeyakinan terhadap kemampuan Malaysia sebagai hab pembuatan kenderaan untuk pasaran serantau.

Sementara itu, beliau menjelaskan bagi enam bulan pertama tahun ini, Nasim telah berjaya menjual sebanyak 1,200 kereta jenama Peugeot pelbagai model di pasaran tempatan.

Menurut beliau, model 3008 kenderaan utiliti sukan (SUV)Peugeot yang baru dilancarkan bulan lalu juga semakin mendapat sambutan hangat dengan lebih 400 tempahan telah diterima setakat ini.

Dalam pada itu, SM Nasaruddin turut melancarkan Pusat Pameran Kenderaan Peugeot cawangan Perak yang dikenali sebagai ‘Kotak Biru’ di Jalan Tun Abdul Razak di sini.

Menurutnya, pusat pameran yang dibina dengan kos kira-kira RM1.5 juta itu menyediakan perkhidmatan jualan, selepas jualan dan alat ganti kenderaan Peugeot di bawah satu bumbung dengan menawarkan keselesaan ruang serta mesra pelanggan.

No comments:

Post a Comment