Translate

Saturday, July 24, 2010

Budak sekolah mencuri dicekup

TAPAH - Lima pelajar sebuah sekolah menengah di Besout, Sungkai dekat sini ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri dan meleraikan motosikal baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah , Deputi Supritendan Abdullah Arshad berkata, kesemua pelajar tingkatan lima terbabit disyaki terlibat dalam sekurang-kurang tiga kes curi motosikal di sekitar Bidor, Kampar dan Ipoh.

Beliau berkata, kegiatan mereka terbongkar apabila sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan telah terserempak dengan dua remaja yang menunggang motosikal Honda EX5 curi dalam keadaan mencurigakan di Jalan Persatuan, Bidor dekat sini pukul 9.30 malam 15 Julai lalu.

"Mereka kemudian bertindak melarikan diri namun salah seorang daripada mereka dapat ditangkap di hadapan sebuah kedai serbaneka di situ.

"Kita turut menjumpai sebatang kunci berbentuk L yang digunakan untuk mencuri motosikal di dalam poket seluar suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di sini semalam.

Abdullah memberitahu, remaja berusia 17 tahun yang melarikan diri itu akhirnya berjaya diberkas di kawasan kediamannya di Besout beberapa hari kemudian.

Beliau berkata, turut ditahan ialah tiga rakan suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal .

"Dua daripada lima remaja yang ditahan pernah ditangkap sebelum ini kerana disyaki terlibat dalam kes mencuri motosikal di sekitar Tanjung Malim dan Teluk Intan.

"Polis juga merampas sebuah enjin dan sebuah rangka motosikal yang telah dikikis nombor enjin dan casisnya," katanya.

Abdullah berkata, siasatan awal polis mendapati kumpulan curi motosikal tersebut telah beroperasi sejak sebulan lalu dan hanya menyasarkan motosikal Honda EX5 untuk dicuri. Mereka kemudian akan meleraikan komponennya sebelum dijual kepada rakan-rakan.

No comments:

Post a Comment