Translate

Tuesday, July 6, 2010

Biomass-SP cari IKS industri biojisim

IPOH - Agensi kerjasama ekonomi serantau yang dibiayai Kesatuan Eropah (EU), Biomass-SP sedang mengenal pasti 50 pemain industri kecil dan sederhana (IKS) berpotensi seluruh negara untuk terlibat dalam industri biojisim.

Penasihat Teknikal Biomass-SP, Datuk Leong Kin Mun berkata, IKS terpilih akan terlibat dalam usaha pengkomersialan biojisim untuk pasaran antarabangsa terutamanya Eropah, Jepun dan Korea Selatan.

"Biomass-SP diberi peranan oleh EU untuk membangunkan potensi IKS tempatan agar lebih kompetitif menyumbang dalam pembangunan lestari dan usaha mengurangkan perubahan cuaca melalui industri biojisim.

"Industri terbabit bukan sahaja mempunyai pasaran besar terutamanya di Eropah malah ia selaras dengan inisiatif Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Model Baru Ekonomi (MBE)," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kin Mun berkata, beberapa kriteria seperti rekod perniagaan, pengiktirafan kerajaan dan pelan perniagaan tersusun akan diambil kira dalam pemilihan IKS terlibat dalam projek berkenaan.

Beliau berkata, 50 IKS terpilih bakal menerima khidmat runding teknikal secara percuma seperti penyediaan pengiraan pelepasan karbon, mekanisme pembangunan bersih, nota idea projek dan dokumen pembangunan projek.

"IKS terbabit akan dibantu untuk mendapatkan permohonan geran kerajaan, pinjaman faedah rendah, insentif pelaburan dan modal teroka.

"Biomass-SP juga akan membantu mencari kerjasama perniagaan dan teknologi dengan firma Eropah dan pengkomersialan pembangunan dan penyelidikan (R&D) dengan institusi pengajian tinggi serta agensi penyelidikan tempatan," katanya.

Selain itu, Kin Mun memberi jaminan IKS yang terpilih juga akan dibimbing bagi mengakses peluang pasaran mengikut spesifikasi dan syarat perolehan hijau.

Sehubungan itu, beliau berkata, IKS yang berminat digalak menghadiri sesi taklimat projek Biomass -SP yang akan diadakan di beberapa lokasi seperti Perak, Pahang, Kedah dan Johor dari 22 Julai hingga 9 Ogos depan.

Untuk makluman lanjut dan pendaftaran secara percuma, sila hubungi Sekretariat Biomass -SP di talian 03-88848882, e-mel info@ biomass -sp.net atau melayari laman web http://www. biomass - sp.net.

No comments:

Post a Comment