Translate

Thursday, July 15, 2010

Latihan maut di lapang sasar

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

KAMPAR - Seorang anggota polis maut manakala seorang lagi parah selepas sebiji bom lama yang cuba dimusnahkan dalam satu sesi latihan di Lapang Sasar Menembak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini tiba-tiba meletup petang semalam.

Tiga anggota yang turut berada di kawasan letupan berkenaan mengalami kecederaan ringan namun keadaan mereka dilaporkan stabil.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, Sarjan Saidin Mohd. Dom dari cawangan persenjataan IPD Taiping cedera parah dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kampar.

Difahamkan, bom tersebut tiba-tiba meletup ketika kelima-lima anggota terlibat sedang membuat pemeriksaan selepas bom itu gagal diletupkan.

Menurut Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusoff, mangsa merupakan sebahagian daripada 40 anggota polis seluruh negeri ini yang menyertai Latihan Dalam Perkhidmatan Kursus Pemusnahan Bom yang dijalankan bermula pukul 8.30 pagi semalam.

Katanya, empat anggota yang cedera ialah Sarjan Saat Salleh dari IPD Larut Matang dan Selama, Sarjan Zulkifli Ijum (IPD Ipoh), Lans Korporal Mohd. Nor Firdaus (lbu Pejabat Kontinjen Polis Perak) dan Korporal Kamarudin Ismail (Pasukan Simpanan Persekutuan Sungai Senam, Ipoh).

"Sarjan Saat yang parah telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan keadaannya stabil.

"Manakala tiga yang lain menerima rawatan pesakit luar di Hospital Kampar dan dibenarkan pulang," katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Kampar di sini malam tadi.

Kesemua mereka yang menyertai latihan selama sehari itu berusia dalam lingkungan 50-an.

Zakaria menambah, sebaik sahaja kejadian berlaku, kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Kampar tetapi seorang daripada mereka meninggal dunia sejam kemudian.

Sementara itu, jenazah Saidin yang dibawa menaiki kenderaan polis tiba di HRPB pukul 8.30 malam dan dibawa ke bilik mayat untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment