Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Hasrat seorang abang untuk membantu adiknya yang terlibat dalam kemalangan berakhir dengan tragedi apabila kedua-dua mereka maut dirempuh treler di Kilometer 272.6, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gunung Lang di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah hari itu, Tan Ban Sheng, 33, dan adiknya Tan Woan Yin, 24, masing-masing dari Sungai Petani dan Alor Setar, Kedah maut dalam keadaan mengerikan apabila badan mereka putus dan terperosok di bawah treler berkenaan.
Kawasan kemalangan terbabit di laluan terus Simpang Pulai-Pulau Pinang itu merupakan lokasi sama kemalangan maut melibatkan sebuah bas ekspres yang meragut 10 nyawa pada 26 Disember tahun lalu.
Ketua Trafik Ipoh, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rajab berkata, sebelum kejadian, kira-kira 9.30 pagi, kenderaan Proton Saga berwarna putih dinaiki Woan Yin dipercayai dalam perjalanan ke Alor Setar dari arah selatan itu terbabas.
Beliau berkata, kenderaan yang dipandu teman lelaki mangsa, Eng Kok Neo, 32, itu melanggar pembahagi jalan menyebabkan bahagian depan Proton Saga itu remuk.
"Akibat kemalangan pertama itu, kaki kanan Kok Neo patah dan dia dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.
"Pihak polis menasihatkan Woan Yin untuk membuat laporan polis dan menarik kenderaan terbabit ke bengkel dengan bantuan kereta tunda yang sedia menunggu tetapi dia enggan," katanya kepada Kosmo! semalam.
Mohd. Rodzi berkata, mangsa memberi alasan mahu menunggu abangnya, Ban Sheng bagi membantu dia membawa keluar barangan peribadi miliknya yang sarat di dalam but kereta Proton Saga tersebut.
Beliau berkata, Bang Sheng dari Sungai Petani tiba di tempat kejadian kira-kira 11.40 pagi dengan memandu kereta Proton Iswara berwarna hitam dan meletakkan kenderaannya di hadapan kereta Proton Saga tersebut.
"Sedang Woan Yin dan abangnya memunggah barangan dari dalam but kereta tiba-tiba datang sebuah treler yang sarat dengan muatan dari arah belakang.
"Pemandu treler gagal mengelak lalu merempuh mereka berdua dan kedua-dua kenderaan terbabit menyebabkan kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian," katanya.
No comments:
Post a Comment