Translate

Saturday, May 22, 2010

Produk Wenzhou, China di Ipoh



IPOH - Perak bakal menjadi pusat perdagangan produk Wenzhou, China dengan pembukaan sebuah pusat pameran di bandar raya ini pada bulan depan.

Exco Kanan Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, melalui pembinaan pusat pameran yang bernilai kira-kira RM1 juta itu, ia akan menjadi platform pemasaran barangan dari China ke pasaran Asia Pasifik dan Timur Tengah.

``Dengan adanya pusat pameran tetap ini, usahawan tempatan dan luar negara boleh mendapatkan produk dari Wenzhou di sini tanpa perlu pergi ke bandar raya perdagangan tersebut.

“Pusat pameran yang seluas 2,000 meter persegi itu dijangka dilancarkan pada 26 Jun depan serentak dengan perasmian Ekspo Antarabangsa Barangan Konsumer Malaysia di Stadium Indera mulia di sini,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Turut hadir ialah Pengerusi Malaysia-Wenzhou Trade City Group, Charlie Zhang.

Wenzhou merupakan salah sebuah zon perkembangan ekonomi dan teknologi yang diwujudkan kerajaan China sejak 1992 serta terkenal sebagai pengeluar utama dalam bidang peralatan elektrik, ubat-ubatan, bahan pembinaan dan tekstil.

Sebelum ini Zhang terlibat dalam pembangunan Dubai China Town di Emeriah Arab Bersatu seluas 800 hektar yang menelan belanja kira-kira RM150.4 juta.

Hamidah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri,
Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak berkata, tiga lokasi di bandar raya ini telah dikenal pasti sebagai tapak pusat pameran tetap tersebut, bagaimanapun ia akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, Hamidah menjelaskan, Ekspo Antarabangsa Barangan Konsumer Malaysia yang berlangsung empat hari sehingga 27 Jun depan bakal disertai 160 syarikat dari Wenzhou.

Menurutnya, dijangkakan lebih daripada 6,000 usahawan termasuk dari Thailand, Indonesia dan negara Timur Tengah dijangka mengunjungi ekspo berkenaan.

No comments:

Post a Comment