Translate

Friday, May 7, 2010

Pemaju degil, penduduk ditimpa sengsara

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KAMPAR - Kedegilan pemaju meneruskan kegiatan pemotongan lereng bukit bagi penanaman semula kelapa sawit biar pun ditegah pihak berkuasa menyebabkan penduduk Taman Seri Kampar di sini terus sengsara sejak dua bulan lalu.

Terbaru, banjir lumpur sekali lagi berlaku kelmarin apabila sebahagian taman perumahan itu dipenuhi lumpur setinggi kira-kira 0.3 meter sehingga menyebabkan kira-kira 70 keluarga mengalami kerugian besar apabila kenderaan dan perkakas rumah rosak.

Seorang penduduk, Mohd. Haris Muhd, 46, kecewa dengan sikap pihak berkuasa terutama Majlis Daerah Kampar (MDK) berhubung masalah tersebut.

Haris mendakwa MDK tidak melakukan pemantauan selepas telah mengeluarkan arahan agar kerja-kerja pemotongan bukit itu dihentikan pada Februari lalu.

“Kerja-kerja pemotongan bukit tetap dijalankan walaupun tidak sekerap dulu. Aduan telah dibuat tetapi pihak berkuasa lambat bertindak," katanya.

Jirannya, S. Visnathan, 49, mendakwa, dia terdengar bunyi kuat dari arah bukit di hadapan rumahnya kira-kira lima minit selepas hujan mula turun pada pukul 8.45 malam.

“Tidak lama kemudian arus deras masuk ke dalam rumah membawa lumpur, pasir, batu kecil dan tunggul kayu.

"Ia kejadian paling buruk berbanding Februari lalu yang cuma melibatkan 36 buah rumah sahaja,” katanya.

R. Muthalagi, 39, pula berkata, banjir lumpur juga menyebabkan peralatan elektrik seperti te levisyen, mesin basuh dan peti sejuk rosak.

“Semuanya baru dibeli bagi menggantikan peralatan elektrik lama yang rosak dalam kejadian banjir lumpur dua bulan lalu,” katanya.

Kosmo! 10 Februari lalu melaporkan kerisauan penduduk Taman Seri Kampar di sini kemungkinan dilanda banjir lumpur ekoran kegiatan memotong lereng bukit bagi penanaman se mula kelapa sawit sejak Disember tahun lalu akhirnya menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment