Translate

Tuesday, May 18, 2010

Jaringan Elektrik Digital bermula di Perak

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Perak bakal menjadi negeri pertama di negara ini
mengaplikasikan perkhidmatan Jaringan Elektrik Digital (DPL) iaitu penyediaan jalur lebar menerusi wayar elektrik.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, menerusi teknologi DPL, transmisi data jalur lebar yang disalurkan menerusi wayar elektrik sedia ada.

“Baru-baru ini kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat swasta untuk menawarkan perkhidmatan DPL sebagai salah satu alternatif pemasangan kemudahan jalur lebar kepada penduduk Perak.

“Kerajaan negeri sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada kerajaan persekutuan. Projek tersebut akan dilancarkan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pelaksanaan Jalur Lebar dan Radiasi Pemancar Telekomunikasi di sini semalam.

Seminar sempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia itu turut dihadiri Pengarah Kanan Bahagian Koordinasi Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Jailani Johari.

Menurut Zambry, pengenalan DPL merupakan antara inisiatif kerajaan negeri Perak bagi meningkatkan kadar penembusan jalur lebar di negeri tersebut.

Beliau berkata, pada suku pertama tahun ini, kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 isi rumah di Perak ialah 24.4 peratus.

“Kita menyasarkan kadar itu dapat melonjak sehingga 41.6 peratus pada akhir tahun ini iaitu menghampiri sasaran nasional yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 50 peratus,” katanya.

No comments:

Post a Comment