SITIAWAN - Tindakan 20 pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga asing menyorok di celah tangki air gagal menyelamatkan mereka daripada dicekup dalam satu serbuan di sebuah pusat karaoke di sini kelmarin.
Daripada jumlah itu, seramai 17 GRO warga Vietnam dan bakinya warga China ditahan pada pukul 8 malam ketika sedang asyik melayan pelanggan yang melakukan aksi ghairah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, serbuan yang diketuai Asisten Supritendan Mohamad Sani Mat Ali itu turut memeriksa 14 pelanggan yang sedang berhibur di pusat hiburan berkenaan.
"Semasa serbuan dijalankan, semua GRO berusia antara 19 hingga 43 tahun tersebut cuba melarikan diri hingga ada yang bertindak memanjat tangga sempit di belakang premis untuk ke bahagian bumbung sebelum cuba menyembunyikan diri di celah tangki air yang terdapat di situ," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Bagaimanapun tambahnya, kecekapan polis mengepung kawasan berkenaan dapat menggagalkan cubaan kesemua GRO tersebut sehingga berjaya ditahan.
Menurut Mohd. Dzuraidi, selain GRO, polis turut menahan seorang pengusaha pusat hiburan karaoke berusia 65 tahun atas kesalahan menggaji warga asing.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959.
No comments:
Post a Comment