Translate

Wednesday, April 14, 2010

Teman Perak mula beroperasi Julai


MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

GOPENG - Terminal Makanan Negara (Teman) Perak, pusat pembekalan setempat berkonsep pasar borong moden yang bakal beroperasi Julai ini akan menyediakan ruang tetap untuk lelongan stok ternakan.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Badruddin Amiruldin berkata, konsep niaga yang julung kali diperkenalkan di negara ini bertujuan memberi ruang kepada penternak tempatan berskala kecil untuk menjual haiwan ternakan mereka seperti lembu, kambing dan kerbau tanpa melibatkan penglibatan orang tengah.

“Model konsep ini pernah diperkenalkan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) beberapa tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan taklimat kepada 243 bakal peserta terdiri daripada pemborong dan peruncit yang akan berniaga di Teman di sini semalam.

Badruddin berkata, aktiviti yang bakal diadakan seminggu sekali itu akan menguna pakai sistem lelongan dalam penjualan haiwan ternakan terlibat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada permulaan aktiviti perlelongan, harga minimum akan diletakkan dan pembida yang menawarkan harga yang terbaik akan memiliki haiwan ternakan terbabit.

“Bagi memastikan ketelusan dan kualiti produk yang hendak dilelong, penternak yang berminat perlu berdaftar dengan FAMA terlebih dahulu.

Dalam perkembangan sama, Badruddin berkata, Teman Perak akan menjadi pusat pengumpulan sayur-sayuran, ikan, ayam, daging, ikan hiasan, bunga-bungaan dan lain-lain.

Jelasnya, melalui pusat tersebut, ia mampu menstabilkan harga pasaran dan memastikan kelangsungan bekalan ikan dan sayur-sayuran khususnya untuk pasaran utara dan Lembah Klang.

No comments:

Post a Comment