Translate

Tuesday, April 13, 2010

RM600,000 wang Ar-Rahnu tidak dituntut

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH -Skim pajak gadai Islam atau Ar-Rahnu yang di bawah seliaan dan koordinasi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menyimpan lebih daripada RM600,000 wang yang tidak dituntut pelanggannya sejak kira-kira 10 tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abd. Malek Awang Kechil berkata, ia merupakan lebihan nilai barang gadaian yang dijual mengikut harga pasaran setelah gagal ditebus peminjam dalam tempoh enam bulan.

“Berbeza dengan sistem pajak gadai konvensional, setelah barangan kemas gagal ditebus dijual, Ar-Rahru Yapiem hanya mengambil nilai yang dipinjam, selebihnya ia akan dipulangkan semula kepada peminjam.

“Contohnya jika barangan kemas bernilai RM1,200, selepas dijual mengikut harga semasa sedangkan pinjamannya cuma RM1,000, maka lebihan RM200 itu akan dipulangkan kepada penggadai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perasmian cawangan ke-56 Ar-Rahnu Yapeim yang disempurnakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di sini semalam.

Ar-Rahnu Yapiem ialah institusi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang menawarkan pinjaman mikro kredit menerusi perkhidmatan sistem pajak gadai Islam.

Abd. Malek berkata, wang tersebut tidak dituntut penggadai kerana mereka mengandaikan sistem pajak gadai Islam sama dengan sistem konvensional.

Beliau berkata, penggadai terbabit akan menghilangkan diri setelah gagal menebus barang kemas dalam tempoh ditetapkan kerana menganggap mereka sudah hilang hak milikan ke atas barangan tersebut.

“Sehubungan itu, saya menyeru agar mereka yang terbabit menghubungi dan berkunjung di cawangan Ar-Rahru Yapiem terdekat pada kadar segera,” katanya.

Dalam pada itu, Abd. Malek memberitahu keanggotaan Kelab Sahabat Ar-Rahnu kini telah meningkat kepada 2,000 orang di seluruh negara.

Beliau berkata, ahli kelab tersebut yang terdiri daripada pelanggan yang melakukan gadaian untuk tujuan produktif seperti berniaga dan pendidikan itu diberi latihan keusahawanan dan ceramah motivasi.

“Ar-Rahnu Yapiem bukan sekadar menyediakan perkhidmatan berasaskan perniagaan tetapi juga menjaga aspek kebajikan dan membangunkan sosio-ekonomi ummah di kalangan pelanggannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment