MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 perjawatan kosong dalam sektor awam perlu diisi pada tahun ini.
Pengerusinya, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri berkata, selain prosedur pengambilan biasa, kekosongan itu disebabkan ramai kakitangan awam akan bersara tahun ini.
“Kumpulan penjawat awam yang dilanjutkan usia persaraan dari 56 tahun ke 58 tahun pada dua tahun lalu akan bersara mulai Julai depan.
“Ia menyaksikan kewujudan banyak kerja kosong daripada Pengurusan dan Profesional, Sokongan I dan Sokongan II,” katanya selepas merasmikan Pusat Temu Duga SPA Perak di Greentown Square di sini semalam.
Pusat temu duga tersebut merupakan ketiga yang ditubuhkan SPA di luar Putrajaya dan Kuala Lumpur selepas Kota Bahru, Kelantan dan Kuantan, Pahang.
Jamaluddin berkata, sehingga kini, SPA menerima kira-kira 500,000 permohonan daripada pencari kerja yang mendaftar secara online sejak awal tahun ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, SPA merancang untuk membuka lebih banyak pusat temu duga di beberapa lokasi strategik seperti Alor Setar, Seremban, Johor Bahru, Miri, Sibu, Tawau dan Sandakan.
“Ia bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada calon untuk berurusan dengan SPA khususnya menghadiri temu duga.
“Pusat ini juga menyediakan kemudahan komputer bagi membolehkan pencari kerja mendaftar dan menyemak status permohonan selain mendapatkan khidmat nasihat dan maklumat tentang peluang pekerjaan di sektor awam,” katanya.
No comments:
Post a Comment