Translate

Thursday, April 1, 2010

DUN Perak kecoh, pembangkang buat perangai

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Ketenangan pada majlis perasmian Penggal Ketiga, Sidang Dewan Undangan Negeri Perak yang ke-12 kelmarin bertukar kecoh apabila kumpulan wakil rakyat Pakatan Rakyat mula menunjukkan belang sebenar pada hari kedua persidangan semalam.

Sebaik sahaja sidang disambung oleh Speaker, Datuk R. Ganesan pada pukul 10 pagi, kebanyakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang mula membuat kecoh bagi mengganggu perjalanan sesi soalan lisan.

Selain menjerit-jerit sambil memegang buku Perintah Tetap dan Peraturan Mesyuarat DUN Perak, mereka menghamburkan kata-kata kesat terhadap Ganesan dan barisan wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Poster-poster yang mengandungi perkataan menghina juga dibawa masuk ke dalam dewan.

Cubaan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin (Pas-Pasir Panjang), bekas Speaker, V. Sivakumar (DAP-Tronoh) dan Thomas Su (DAP-Pasir Pinji) untuk menyerahkan salinan poster terbabit kepada Ganesan bagaimanapun gagal setelah dihalang Bentara.

Tiga ADUN pembangkang iaitu Tai Sing Eng (PKR-Kuala Sepetang), Chang Lih Kang (PKR-Teja) dan Yee Sue Kai (DAP-Pokok Assam) pula enggan membaca soalan lisan mereka hingga memaksa Ganesan bertegas beralih ke soalan lain.

Kemuncaknya, Sing Eng bertindak kasar dengan cuba mencederakan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (BN-Pangkor) dengan menghayun failnya ke arah kepala Menteri Besar Perak itu tetapi sempat dihalang oleh beberapa Bentara.

Setelah tindakan provokasi mereka gagal menghuru-harakan perjalanan persidangan, semua 28 ADUN pembangkang yang diketuai Mohamad Nizar bertindak keluar dewan pada pukul 11 pagi sambil mencaci anggota polis yang berkawal.

Ganesan kemudiannya menangguhkan mesyuarat pada kira-kira 2.30 petang selepas Zambry selesai membuat penggulungan.

Kekecohan semalam jauh berbeza dengan senario pada hari perasmian sidang kelmarin selepas kumpulan ADUN pembangkang lebih tertib bagi menghormati Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Datuj Shaarani Mohamad (BN-Rungkup) mencadangkan supaya gelaran Datuk Seri dan Datuk yang dikurniakan kepada Mohamad Nizar dan Koo Ham dilucutkan oleh Istana Perak.

No comments:

Post a Comment