Translate

Tuesday, April 27, 2010

Kartika cari ketenangan diri di Kedah

IPOH - Sejurus melepaskan rindu terhadap dua anaknya yang ditinggalkan selama tiga minggu kerana menjalani hukuman khidmat sosial di sebuah rumah kebajikan di Kuantan sejak 2 April lalu, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, mengambil keputusan menenangkan diri di Kedah.

Shukarnor Abdul Mutalib, 62, berkata, anak ketiganya itu sampai ke rumahnya di Kampung Jawang, Karai, Kuala Kangsar di sini pada kira-kira 2 pagi semalam.

"Sepanjang malam, dia (Kartika) menemani kedua-duanya anaknya tidur sebelum bergerak ke Kedah seorang diri pada kira-kira 9 pagi tadi (semalam).

"Kartika memberitahu mahu menenangkan diri sambil menziarah keluarga di Kedah. Dia mohon diberi ruang untuk berehat sebelum bertemu dengan mana-mana pihak termasuk media," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Sebelum iut, akhbar melaporkan Kartika yang berada di Kuala Lumpur selepas selesai menjalani hukuman khidmat masyarakat di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah baru-baru ini akan pulang ke kampung halamannya semalam.

Pada 2 April lalu, Kartika menjalani hukuman khidmat masyarakat selama tiga minggu selepas hukuman enam sebatan dikenakan kerana minum arak diringankan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Keputusan Sultan Ahmad itu dibuat selepas Kartika menghadap Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah 3 Mac lalu.

Ibu tunggal itu dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 pada 18 Julai 2009 selepas didapati bersalah minum arak di khalayak ramai di sebuah resort di Cherating. Kuantan.

No comments:

Post a Comment