Translate

Friday, April 2, 2010

Khidmat masyarakat ganti hukuman sebat

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
berita @kosmo.com.my

IPOH - Bekas model, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang didapati bersalah kerana minum arak oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang tidak akan menjalani hukuman enam sebatan seperti yang diputuskan pada 18 Julai 2009.

Sebaliknya, ibu tunggal berusia 33 tahun itu yang kini menetap di Kampung Jawang, Sungai Siput, kira-kira 90 kilometer dari sini, telah dititahkan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah untuk menerima hukuman gantian.

Mulai hari ini, Kartika dititahkan melakukan kerja khidmat masyarakat di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Jalan Tengku Muhammad, Kuantan selama tiga minggu.

Berita terbaru itu disahkan bapa Kartika, Shukarnor Abdul Mutalib yang menghubungi Kosmo! pagi semalam.

Menurut Shukarnor, dia dan Kartika telah dimaklumkan mengenai pelaksanaan hukuman gantian itu melalui sepucuk surat rasmi yang dihantar kepada peguam anaknya di Kuala Lumpur petang kelmarin.

Katanya, surat yang bertarikh 26 Mac 2010 yang ditandatangani Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan itu mengandungi titah Sultan Pahang mengenai hukuman gantian itu.

"Surat itu menyebut Sultan Ahmad Shah selaku ketua agama Islam negeri Pahang telah berkenan memutuskan bahawa ganti kepada sebat, Kartika dititahkan supaya melakukan kerja khidmat masyarakat di lokasi berkenaan.

Beliau yang berada di Kuala Lumpur sejak kelmarin telah bertolak ke Kuantan petang semalam bersama Kartika dan bermalam di sebuah hotel di bandar tersebut.

Kartika akan melaporkan diri di Pejabat Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Kuantan pada 8.30 pagi ini sebelum dirujuk ke rumah kebajikan tersebut.

Jelas Shukarnor, pihaknya dimaklumkan sepanjang pelaksanaan khidmat masyarakat itu, Kartika Sari Dewi perlu bertugas bermula 8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari.

Kartika dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 pada Julai tahun lalu selepas didapati bersalah minum arak di khalayak ramai di sebuah resort di Cherating, Pahang.

Bagaimanapun, Kartika yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata ketika dihubungi terkilan kerana harapan untuk menerima hukuman sebat tidak menjadi kenyataan.

"Saya harap hukuman khidmat masyarakat akan menjadi pengajaran kepada orang Islam lain," katanya.

Beliau juga mengakui hatinya sedih kerana terpaksa berpisah sementara dengan kedua-dua anaknya yang kini tidak sihat.

"Ibu (Wan Badariah Meor Abdul Salim) akan menjaga mereka semasa ketiadaan saya," katanya.

Sementara itu, bekas suami Kartika, Mohamad Afandi Amir ketika menghubungi Kosmo! menyuarakan hasratnya untuk ke Kuantan bagi memberi semangat kepada bekas isterinya sepanjang menjalani hukuman tersebut.

No comments:

Post a Comment