Translate

Sunday, November 15, 2009

PerakTV dilancar

IPOH - Kerajaan negeri Perak melancarkan PerakTV yang merupakan rangkaian media digital hasil usaha sama agensi kerajaan negeri, KPerak Inc. Corporation (KPerak) dan agensi pengiklanan swasta, Simfoni Maya (Simfoni Maya) Sdn. Bhd.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, Perak adalah negeri pertama di negara ini yang mempunyai rangkaian media digital menggunakan teknologi siaran terhad.

"PerakTV membolehkan rakyat Perak terutama di pedalaman mendapat akses langsung tentang berita dan program setempat, produk ekonomi dan pelancongan tempatan serta dasar kerajaan negeri.

"Maklumat demikian akan disalur melalui monitor LCD dan papan digital yang diselenggara Simfoni Maya manakala pengisian pula dikendali KPerak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pra pelancaran PerakTV yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Datuk Yaacob Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif Simfoni Maya, Latt Sharizan Abdullah di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Zambry berkata, sebanyak 300 paparan LCD dan papan digital terbabit akan dipasang di beberapa kawasan strategik dan tumpuan penduduk seperti restoran, stesen bas dan pusat membeli-belah di seluruh daerah di Perak.

Beliau berkata, kerja-kerja pemasangan paparan terbabit akan bermula dalam masa terdekat dan PerakTV disasar bakal menemui rakyat Perak selewat-lewatnya Mac tahun depan.

No comments:

Post a Comment