IPOH - Peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional digesa agar lebih bertanggungjawab membayar balik pinjaman mereka demi kelangsungan dana pembiayaan mikro tersebut.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kadar pinjaman tidak berbayar di kalangan peminjam TEKUN Nasional adalah antara tertinggi di kalangan skim pembiayaan mikro yang terdapat di negara ini.
"Berbeza dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang hanya mempunyai pinjaman tidak berbayar dalam lingkungan dua peratus sahaja, TEKUN Nasional memang teruk dan ia sudah lama berlarutan.
"Saya tahu selama ini tiada apa-apa tindakan. Kadang-kadang sikap rakyat Malaysia ini yang saya tengok, kita ini sangat murah hati, kalau nak ambil tindakan kita selalu berasa kasihan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Rakan Alam Sekitar Parlimen Tambun di Lata Ulu Chepor di sini semalam.
Bagaimanapun, Ahmad Husni mengingatkan pembayaran balik di kalangan peminjam TEKUN Nasional penting bagi membolehkan skim pinjaman mikro itu sentiasa mempunyai modal pusingan yang mencukupi.
Beliau berkata, jika tidak, modal pusingan TEKUN Nasional akan berkurangan dan tidak mustahil suatu hari nanti dan itu tidak berkemampuan untuk memberi sebarang pembiayaan kepada usahawan.
No comments:
Post a Comment