Translate

Saturday, November 21, 2009

Mangsa banjir di Perak, Kedah meningkat

IPOH - Banjir di Perak tidak banyak berubah semalam dengan mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat kepada 1,441 orang daripada 1,166 orang kelmarin.

Selain daerah Kerian, Pantai Remis dan Beruas yang terletak di daerah Manjung kira-kira 100 kilometer dari sini turut dilanda banjir mulai semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Fauzi Mat Nayan berkata, seramai 1,240 mangsa banjir dari 11 kampung sekitar Alor Pongsu dekat sini masih ditempatkan di lapan pusat pemindahan.

Beliau berkata, Jalan Selama-Alor Pongsu dari Kilometer (KM) 10 hingga 17 dekat sini masih ditutup kerana digenangi bah sedalam kira-kira 1.3 meter.

“Saya menjangkakan banjir yang melanda daerah Kerian sejak 12 November lalu akan surut sepenuhnya dalam jangka masa seminggu,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan, Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu dekat sini semalam.

Tempat lain yang turut dilanda banjir adalah Taman Bintang, Pantai Remis dan Padang Serai, Beruas.

Kedua-dua kawasan itu dilanda banjir mulai tengah malam semalam menyebabkan seramai 201 orang terpaksa dipindahkan di dua pusat penempatan banjir.

Sementara itu di Kedah, jumlah mangsa banjir di empat daerah terus berkurangan kepada 1,352 orang semalam berbanding 1,558 orang petang kelmarin.

Bagaimanapun jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata, jumlah mangsa banjir di Kota Setar meningkat kepada 904 orang daripada 261 keluarga berbanding 876 orang daripada 254 keluarga petang kelmarin.

"Seramai 59 orang di daerah Pokok Sena masih berada di dua pusat pemindahan manakalan di Kubang Pasu, jumlah mangsa yang dipindahkan menurun kepada 64 orang," katanya.

Jurucakap itu berkata, jumlah mangsa banjir di daerah Bandar Baharu meningkat kepada 325 daripada 77 keluarga berbanding 291 daripada 68 keluarga petang semalam.

Bacaan paras air Sungai Pantai Johor pula masih melebihi paras bahaya iaitu 2.24 meter (paras bahaya 2 meter) manakala sungai-sungai lain berada di paras berjaga-jaga.

No comments:

Post a Comment