Translate

Friday, November 6, 2009

Mayat tiga mangsa lemas dituntut keluarga

NIBONG TEBAL - Suasana pilu dan sedih menyelubungi rumah Yew Ghim Chnieh, 20, sebaik mayatnya tiba dari Hospital Kampar, Perak ke rumahnya di Sungai Bakap dekat sini semalam.

Mangsa mati lemas ketika mandi di kawasan perkelahan Batu Berangkai, Kampar kelmarin bersama dua rakannya.

Mayat Ghim Chnieh tiba di rumahnya di Kampung Valdor pada pukul 3.15 petang.

Mayat pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cina di Berapit, Bukit Mertajam hari ini.

Nenek mangsa, Ng Tze Xian, 72, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan cucunya itu sebulan lepas.

"Dia harapan keluarga sejak ayahnya mati akibat kanser lima tahun lalu," kata Tze Xian.

Menurut Tze Xian, mangsa merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan bercita-cita mahu menyambung pengajian di luar negara namun hasratnya tidak kesampaian.

"Dia terpaksa lupakan hasrat belajar di luar negara kerana perlu menjadi ketua keluarga selepas ketiadaan ayahnya," katanya.

Mayat dua rakan mangsa, James WanKai Khor, 20, juga dari Pulau Pinang dam Yew Shy Gin, 21, dari Sungai Petani, Kedah turut dituntut keluarga masing-masing semalam.

Kai Khor adalah anak tunggal kepada Khor Ewe Kok, 51.

"Kehilangan Kai Khor amat memeritkan kami sekeluarga namun takdir ini terpaksa kami terima," kata Ewe Kok.

Ewe Kok dari Halaman Macalister, George Town memberitahu, Kai Khor merupakan pelajar tahun dua jurusan perakaunan dan anaknya itu memang gemar aktiviti luar yang lasak dan mencabar.

"Kali terakhir saya jumpa dengan anak saya ketika Kai Khor pulang bercuti di rumah dua minggu lalu," katanya.

Kosmo! semalam melaporkan tiga pelajar UTAR termasuk seorang wanita hilang dibawa arus ketika berkelah di Air Terjun Batu Berangkai, Kampar, Perak.

Bagaimanapun gerakan mencari yang dilancarkan malam kelmarin menemui ketiga-tiga mangsa yang telah mati lemas.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, limpahan arus deras di Air Terjun Batu Berangkai dipercayai berpunca daripada 'empangan semula jadi' di hulu sungai pecah akibat tekanan air bertakung yang terlalu banyak.

Menurut beliau, empangan semula jadi sering terbentuk akibat longgokan pokok tumbang dan ranting kayu.

"Hujan lebat dan tekanan air yang terlalu kuat menyebabkan empangan seperti itu pecah. Kawasan berkenaan tidak mempunyai empangan yang dibina mana-mana pihak," jelas beliau selepas melawat Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga apabila berkelah di kawasan air terjun terutaman pada musim hujan.

No comments:

Post a Comment