Translate

Sunday, August 31, 2025

Polis jamin tidak ‘pukat’ himpunan RXZ Members 7.0

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu memberi jaminan peminat motosikal Yamaha RXZ boleh menyertai Himpunan RXZ Members 7.0 selama dua hari bermula Jumaat ini dengan tenang tanpa perlu risau ‘dipukat’ pihak berkuasa.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, pihaknya tidak akan memilih pendekatan sekatan jalan raya (SJR) sepanjang penganjuran program yang dijangka disertai lebih 100,000 peminat motosikal Yamaha RXZ seluruh negara.

Sebaliknya, beliau berkata, penguat kuasa undang-undang, kawalan ketenteraman awam dan kelancaran trafik akan dilaksanakan menerusi rondaan anggota polis bertugas.

“Seramai 600 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang penganjuran Himpunan RXZ Members 7.0.

“Kawalan akan dilakukan di lokasi penganjuran iaitu Litar Permotoran Terengganu di Gong Badak, Kuala Nerus dekat sini dan lokasi tumpuan peserta seperti tempat penginapan mereka di sekitar bandar raya ini dan daerah sekitar,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Mohd. Khairi mengingatkan peseta RXZ Members 7.0 agar mematuhi undang-undang termasuk memiliki lesen memandu sah dan tidak mengubahsuai motosikal tanpa spesifikasi dibenarkan.

Beliau berkata, peserta himpunan itu juga diingatkan agar tidak membuat bising di tempat awam dan membawa barangan terlarang seperti dadah.

“Sebarang pelanggaran undang-undang (oleh peserta RXZ Members) akan diambil tindakan tegas oleh pegawai dan anggota polis yang melakukan rondaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

18 bot Pulau Perhentian abai keselamatan didenda RM416,000

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seramai 18 pengendali bot penumpang dan nelayan dikompaun melibatkan amaun keseluruhan RM416,000 atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pulau Perhentian dekat sini.

Penguatkuasaan operasi selama dua hari berakhir semalam melibatkan 17 bot penumpang dan sebuah nelayan.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pemeriksaan mendapati kesemua bot terbabit melakukan pelbagai kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Perikanan 1985.

”Antara kesalahan dikesan membawa penumpang melebihi had dihadkan, tidak memiliki insurans, beroperasi tanpa lesen sah dan tidak menyediakan peralatan keselamatan nyawa.

“Pemeriksaan juga mengesan segelintir pengendali itu menyalahguna bot nelayan dan kargo untuk membawa penumpang selain nakhoda bot tiada perakuan kompetensi,” katanya di sini hari ini.

Hamiludin berkata, operasi sama turut menahan 32 individu berusia 20 hingga 50 tahun termasuk tekong dan pemandu bot untuk membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata, kesemua bot terbabit disita dan ditunda ke Jeti Maritim Kuala Besut di sini untuk tindakan lanjut.

“Tindakan pengusaha terbabit mengabaikan aspek keselamatan yang berisiko mengundang tragedi demi keuntungan amat dikesali,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Duit pencen RM94,463 lesap ditipu skim pelaburan palsu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pesara mahu menggandakan wang bukan sahaja tidak kesampaian, malah duit pampasan persaraannya berjumlah RM94,463 lesap apabila diperdaya skim pelaburan tidak wujud pada minggu lalu.

Lelaki berusia 59 tahun yang menyedari tertipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 8.17 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pesara terbabit menerima pesanan menerusi aplikasi Telegram menawarkan skim pelaburan tersebut pada pukul 3.10 petang, 14 Ogos lalu.

“Mangsa yang tertarik telah membuat pelaburan awal sebanyak RM200 sebelum teruja melihat dia mula mendapat keuntungan dan sentiasa meningkat.

“Dia yang mahu mengeluarkan keuntungan kemudiannya diminta agar membayar wang pemprosesan pengeluaran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, pesara itu akur akan melakukan transaksi keseluruhan berjumlah RM94,463 ke dalam enam akuan bank diberikan suspek.

Beliau berkata, kesemua 12 transaksi tersebut dilakukan antara Khamis hingga Ahad lalu.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE