Translate

Friday, October 3, 2025

RM18.91 juta produk buluh dieksport ke luar negara

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Produk berasas buluh tempatan bernilai RM18.91 juta berjaya dieksport pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, ia sebahagian daripada nilai eksport industri perkayuan tempatan yang berjumlah keseluruhan RM22.92 bilion dalam tempoh sama.

“Secara keseluruhan industri perkayuan termasuk buluh merupakan penyumbang ketiga terbesar dalam sektor agrikomoditi negara.

“Sektor tersebut mencatat nilai eksport keseluruhan RM186.5 bilion pada tahun lalu,” katanya selepas merasmikan Hari Buluh Sedunia peringkat kebangsaan di Pusat Latihan Industri Pembalakan Terengganu (TTITC) di sini hari ini.

Foong Hin berkata, nilai eksport produk buluh tempatan bagaimanapun merosot 5.9 peratus pada tahun lalu berbanding RM20.09 juta yang diraih pada tahun 2023.

Beliau berkata, sebagai perbandingan, nilai import produk buluh pula meningkat kepada RM126.73 juta pada 2024 berbanding RM108.54 juta pada tahun sebelumnya.

“Ia menunjukkan industri buluh negara masih mempunyai ruang dan berpotensi besar untuk berkembang bagi menyokong industri perkayuan negara.

“Kita mempunyai lebih 70 spesies buluh termasuk 45 merupakan tempatan yang terbukti mempunyai pertumbuhan pantas serta memiliki kekuatan mekanikal dan daya tahannya,” katanya.

Foong Hin berkata, industri buluh turut mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran global dengan nilai pasarannya pada tahun ini diunjur menjangkau RM314.16 bilion. – KOSMO! ONLINE

Pesara rugi RM185,050 diperdaya skim pelaburan forex palsu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Seorang pesara sebuah syarikat berkaitan minyak dan gas berputih mata kerugian RM185,050 selepas diperdaya skim pelaburan mata wang asing atau forex tidak wujud.

Lelaki berusia 60 tahun yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, pada mulanya, lelaki warga emas itu melihat iklan skim pelaburan forex berkenaan menerusi aplikasi Telegram pada 9 Julai lalu.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran kononnya lumayan telah memasuki kumpulan skim pelaburan terbabit di dalam aplikasi berkenaan.

“Dia kemudiannya mula membuat pelaburan berjumlah keseluruhan RM185,050,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Razi berkata, pelaburan itu dilakukan pesara tersebut menerusi 14 transaksi antara 9 Julai hingga 30 September lalu.

Beliau berkata, transaksi terbabit dimasukkan ke dalam 11 akaun bank berasingan yang diberi suspek.

“Begitupun mangsa tidak menerima apa-apapun pulangan daripada pelaburan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Thursday, October 2, 2025

UMT tawar tiga program teknologi tenaga baharu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkenalkan tiga program baharu pada sesi kemasukan baharu 2025/2026 semalam.

Naib Canselor UMT, Profesor Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, tiga program baharu tersebut ialah Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Elektrik (Tenaga dan Kuasa) dengan Kepujian serta Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) dengan Kepujian.

“Penawaran program-program baharu tersebut selaras dengan keperluan semasa negara.

“Ia dijangka dapat melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, teknologi elektrik dan maritim pada masa hadapan,” katanya selepas menyantuni pelajar-pelajar baharu di kampus UMT, Gong Badak di sini hari ini.

Seramai 2,105 pelajar baharu termasuk 15 dari luar negara mendaftar masuk ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Mohd. Zamri berkata, pelajar-pelajar antarabangsa tersebut dari dari pelbagai negara termasuk Maldives, India, Indonesia, Bangladesh, Sudan, Tanzania, Timor-Leste dan Kenya.

Beliau berkata, sebanyak 36 program pengajian di bawah tujuh fakulti ditawarkan termasuk tiga yang baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Zamri berkata, kampus kedua UMT di Bukit Kor, Marang bakal mula beroperasi pada Ahad ini melibatkan 332 pelajar. – KOSMO! ONLINE