Translate

Friday, June 3, 2022

Azreen kempunan pertahan emas Sukma

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HASRAT pelari pecut kebangsaan, Azreen Nabila Alias untuk mempertahankan pingat emas acara pecut 100 meter (m) pada Sukan Malaysia (Sukan Malaysia) 2022 tidak kesampaian apabila rayuannya ditolak Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Azreen Nabila, 21, dianggap tidak layak untuk menyertai Sukma Kuala Lumpur pada September depan kerana pernah mewakili negara pada Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu.

“Kita membuat rayuan kerana Azreen Nabila terpilih ke Sukan Olimpik bukan secara merit tetapi wildcard.

“Beliau sepatutnya diberi peluang untuk menyertai temasya Sukma terakhirnya kali ini,” kata Wan Sukairi semalam.

Pada Sukma Perak tahun 2018, Azreen Nabila menggondol pingat emas dengan catatan masa 11.81 saat yang juga rekod baharu dalam acara pecut 100m bagi temasya sukan dwi-tahunan terbabit.

Wan Sukairi berkata, penyertaan Azreen Nabila pada Sukan Olimpik memang impian atlet kelahiran Setiu itu malah mendapat dokongan kuat kerajaan negeri Terengganu.

“Kita tidak sangka ia telah menutup terus peluang Azreen menyertai Sukma kali ini sedangkan penyertaannya secara wildcard dan persiapannya cuma sebulan.

“Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu agak terkilan kerana Azreen Nabila merupakan antara prospek pingat emas kontinjen negeri itu pada Sukma 2022,” katanya.

Wan Sukairi berkata, walaupun akur dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Ter­tinggi Sukma dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, pihaknya tidak berputus asa untuk membantu Azreen Nabila.

Tambah beliau, pihaknya masih mempunyai tempoh lima bulan untuk merealisasikan impian atlet pecut wanita itu me­nyertai Sukma terakhirnya.

“Apatah lagi Azreen Nabila merupakan pemegang rekod 100m wanita. Sudah pasti beliau ada misi tersendiri pada temasya tersebut kali ini,” katanya.

Thursday, June 2, 2022

Henti rawatan anak OKU sebab tak mampu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Kehidupan seorang pengait buah kelapa sawit terus diuji apabila isteri yang menjadi tulang belakang­nya selama ini tiba-tiba diserang pe­nyakit misteri lapan bulan lalu.

Mohd. Shahrizal Mamat, 34, berkata, tubuh isterinya, Nor Haszalita Mohd. Hashim, 35, tiba-tiba menjadi lemah hingga sukar berdiri dan berjalan sejak September tahun lalu.

Menurutnya, pemeriksaan di hospital gagal menemui apa-apa penyakit sebelum dia membawa isteri berubat secara tradisional.

“Masalah kesihatan isteri menyebabkan saya terpaksa mengambil alih tugas rumah tangga termasuk menjaga anak bongsu, Nurmyra Mykaela, 8, yang menderita penyakit celebral palsy sejak lahir.

“Nurmyra Mykaela perlu dipantau sentiasa kerana berisiko diserang sawan menyebabkan saya tidak boleh fokus terhadap kerja sebagai pengait kelapa sawit untuk mencari pendapatan,” katanya di sini semalam.

Tambahnya, komitmen menjaga anak dan isteri yang sakit serta menguruskan persekolahan dua anak perempuan lain berusia 13 dan 15 tahun menyebabkan pendapatannya terjejas.

Tambahnya, purata perbelanjaan bulanan membeli susu, makanan bijirin dan lampin pakai buang buat anak serta kos perubatan isterinya sangat besar dan di luar kemampuannya.

“Pernah beberapa kali saya terpaksa membeli lampin pakai buang menggunakan baki duit syiling yang masih tersisa.

“Susu khas untuk Nurmyra Mykaela terpaksa ditukar kepada susu formula biasa selain menghentikan rawatan susulannya di hospital ekoran kekangan kewangan,” katanya.

Mohd. Shahrizal berkata, sepanjang Ramadan, mereka sekeluarga kerap bersahur dan berbuka puasa dengan lauk te­lur sahaja.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Nor Haszalita bernombor 11500-41-00007902-8 (BSN) atau meng­hubungi Mohd. Shahrizal di talian 0137089377.

Wednesday, June 1, 2022

Menyamar kapal kargo untuk kebas hasil laut

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tem­belang nelayan Vietnam yang menyamar sebagai kapal kargo untuk mencuri khazanah laut negara di perairan negeri ini terbongkar apabila dicekup sepasukan Maritim Malaysia (APMM) dalam beberapa operasi sejak awal Ramadan lalu.

Tindakan menyamar sebagai kapal kargo merupakan taktik terbaharu nelayan Vietnam yang berjaya dibongkar.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, ketika ditahan, tekong bot mendakwa telah memohon permit untuk melalui perairan negara kononnya bagi mengangkut kargo seperti buah kelapa di pelabuhan Indonesia.

“Bagaimanapun, mereka disyaki menggunakan alasan itu untuk menangkap ikan di perairan Terengganu dan Pahang.

“Pemeriksaan mendapati permohonan permit untuk melalui perairan kita itu juga masih belum diluluskan pun oleh agensi berkaitan,” katanya kepada ­Kosmo!.

Menurut Suffi, sejak awal Ra­madan lalu, pihaknya telah menahan empat bot nelayan Vietnam yang menggunakan modus operandi sama di sekitar perairan Terengganu.

Tambahnya, terdapat lapan lagi bot nelayan Vietnam yang menggunakan taktik sama bagi menceroboh perairan negara tetapi masih terlepas.

“Saya percaya taktik me­nyamar sebagai bot kargo ini digunakan bukan sahaja untuk mengaburi APMM, malah agensi penguatkuasaan maritim negara asal mereka.

“Ia disebabkan kerajaan negara itu sudah mula bertegas dan memberi respons terhadap isu mencuri hasil laut negara sejak awal tahun ini,” katanya.


Muhammad Suffi berkata, tindakan tegas itu menyebabkan bot-bot nelayan Vietnam sema­kin sukar berbuat sesuka hati dan terpaksa mencari helah baharu untuk melepasi sempadan perairan antarabangsa.

Beliau berkata, APMM sebagai agensi bertanggungjawab me­ngawal perairan negara tidak akan mudah terperdaya dengan modus operandi terbabit.

“Kita akan terus mengetatkan penguatkuasaan di perairan Pantai Timur terutama pada sepanjang bulan Ramadan dan Syawal ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE