Translate

Tuesday, February 18, 2025

Terengganu mahu tarik lebih ramai pelancong asing

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu akan memberi fokus untuk menarik lebih ramai pelancong asing untuk berkunjung ke negeri Pantai Timur terbabit pada tahun ini.

Pengarah Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd. Rahman berkata, walaupun kemasukan pelancong ke negeri meningkat mendadak kepada lebih 8 juta pada tahun lalu, bilangan pengunjung luar negara cuma kira-kira 40,000 orang.

“Ia cuma kira-kira satu peratus daripada keseluruhan pelancong yang mengunjungi Terengganu pada tahun lalu.

“Kebanyakan mereka berasal dari China, Itali, Perancis dan Singapura yang gemar bercuti di rangkaian pulau peranginan di negeri ini,” katanya selepas menerima kostum maskot rasmi pelancongan Terengganu di sini malam tadi.

Kostum maskot pasangan penyu digelar Awang Nelang dan Mek Ara tersebut merupakan sumbangan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina, Melayu dan India Terengganu.

Ahmad Ridzwan berkata, pihaknya akan mempelbagaikan aktiviti di rangkaian pulau peranginan seperti Pulau Redang, Perhentian dan Lang Tengah untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke negeri ini.

Beliau berkata, selain itu, penganjuran program Pelita Raya, Festival Candat Sotong, Pelita Raya dan Karnival Pantai juga akan diperkasa bagi mencapai matlamat tersebut menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Program terdekat ialah Pelita Raya yang akan diadakan di perkarangan Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus pada bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Penganjuran program itu pada tahun ini lebih berskala besar dengan turut melibatkan penyertaan negeri-negeri lain dan negara jiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment