Translate

Saturday, February 22, 2025

Nak untung besar jangan sampai ditipu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SKIM pelaburan tidak wujud merupakan antara kes jenayah komersial yang semakin menjadi-jadi di negara ini. 

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, sebanyak 5,554 kes dilaporkan melibatkan kerugian RM475.4 juta direkodkan pada 2023. 

Angka itu meningkat hampir dua kali ganda berbanding 3,294 kes dengan kerugian RM217.9 juta pada 2022. 

Aduan berhubung aktiviti pelaburan mencurigakan yang diterima Suruhanjaya Sekuriti Malaysia juga meningkat lebih 321 peratus sejak 2019. 

Antara modul skim pelaburan tidak wujud popular yang ditawarkan adalah emas, mata wang digital, perdagangan mata wang asing dan saham. 

 Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin mengakui kes penipuan online melibatkan pelaburan tidak wujud semakin membimbangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

 Katanya, pelaburan tidak wujud menjadi penyumbang terbesar kes penipuan online di seluruh negara termasuk Terengganu.

 “Skim pelaburan tidak wujud menjadi penyumbang terbesar kes penipuan online di Terengganu dengan kerugian RM42.06 juta tahun lalu. 

 “Berbanding kes-kes penipuan online lain, kerugian dialami mangsa skim pelaburan tidak wujud amat tinggi mencecah jutaan ringgit bagi setiap kes,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

 Mohd. Khairi memberitahu, kebanyakan mangsa kes pelaburan tidak wujud merupakan golongan profesional dan terpelajar yang sepatutnya terdedah dengan taktik penipuan digital.

 Jelasnya, bukan sahaja pesara dan penjawat awam, malah ejen pelaburan dan pegawai bank juga pernah menjadi mangsa pelaburan tidak wujud di Terengganu. 

 “Penjenayah memainkan taktik psikologi memanipulasi keinginan mangsa untuk meraih keuntungan besar dalam masa pantas untuk melakukan penipuan.

 “Ikutkan mana logik pelaburan serendah RM5,000 mampu menjana keuntungan sehingga RM1 juta dalam tempoh enam bulan sahaja,” katanya. 

Sementara itu, penganalisis industri, Nazri Hamdan berkata, kebanyakan skim pelaburan tidak wujud menggunakan modus operandi sama iaitu menjamin keuntungan besar pada waktu singkat.

 Beliau berkata, secara asasnya, skim pelaburan menawarkan keuntungan besar yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi. 

 “Skim yang menawarkan pulangan atas pelaburan (RoI) tinggi melebihi 12 peratus tidak boleh dijamin keuntungannya.

 “Sekiranya ada pihak memberi jaminan kita mampu memperoleh keuntungan daripada sesuatu pelaburan berisiko tinggi, itu petanda ia mempunyai unsur penipuan,” katanya. 

 Nazri berkata, hanya skim pelaburan berisiko rendah yang menawarkan keuntungan bawah enam peratus boleh memastikan pelabur tidak akan mengalami kerugian. 

 Beliau menambah, antara pelaburan berisiko rendah yang dijamin keuntungan ialah simpanan deposit tetap, Amanah Saham Bumiputera dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 “Pelaburan berisiko sederhana pula menawarkan RoI antara enam hingga 12 peratus seperti saham dan bon,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment