Translate

Friday, February 21, 2025

Pantau lesen bazar Ramadan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah memantau dan membanteras aktiviti penjualan lesen perniagaan kepada pihak ketiga termasuk warga asing di tapak bazar Ramadan yang bakal dibuka di seluruh Terengganu tidak lama lagi.  

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebanyak 4,456 lesen peniaga diluluskan di 57 tapak bazar Ramadan di lapan daerah di negeri ini.

 “Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang menyewakan lot niaga kepada warga asing. 

“Mereka juga perlu mematuhi syarat ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Penjaja PBT masing-masing,” katanya selepas merasmikan Medan Selera D’Muara di sini semalam. 

Wan Sukairi berkata, kesemua bazar Ramadan terbabit juga akan dipantau penguat kuasa Kementerian Kesihatan dan PBT secara berkala. 

Dalam perkembangan sama, Wan Sukairi memberitahu, sebanyak 12 tapak bazar Ramadan membabitkan 1,289 peniaga akan dibuka di daerah ini. 

Beliau berkata, Besut pula akan mempunyai sembilan tapak bazar Ramadan melibatkan seramai 534 peniaga. 

“Seramai 565 peniaga pula akan berniaga di lapan tapak bazar Ramadan di Kemaman.

 “Kuala Nerus akan mempunyai tujuh tapak bazar Ramadan diikuti masing-masing enam di Marang dan Setiu, Dungun (lima) dan Hulu Terengganu (empat),” katanya. 

Wan Sukairi juga mengesyorkan peniaga bazar Ramadan supaya mengutamakan transaksi pembayaran tanpa tunai.

Beliau menambah, pendekatan tersebut boleh mengurangkan risiko pencemaran silang terhadap makanan dan minuman jualan.

No comments:

Post a Comment