KUALA TERENGGANU – Seorang anggota polis berpangkat konstabel didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas mengaku bersalah menerima wang tunai RM1,000 daripada suspek kes dadah, dua tahun lalu.
Hakim Mohd. Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh, Abdul Aziz Mustapha, 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan pindaan dibacakan.
“Kesalahan kamu serius dan boleh meruntuhkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
“Ia juga mencalarkan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ selain anugerah perkhidmatan cemerlang yang pernah kamu perolehi,” katanya ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.
Berdasarkan pertuduhan, Abdul Aziz didakwa menerima wang tunai RM1,000 daripada seorang lelaki tanpa balasan di kawasan parkir Medan Selera Kota Putera, Besut pada pukul 12.40 tengah hari, 8 Oktober 2023.
Mengikut fakta kes, lelaki terbabit telah memberikan wang tunai itu selepas ditangkap tertuduh dalam serbuan dadah sehari sebelum kejadian.
Abdul Aziz telah bertugas di Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Besut sejak 2016.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fadhly Zamry, manakala tertuduh diwakili peguam, Ariff Azami Hussein.
No comments:
Post a Comment