Translate

Tuesday, April 30, 2024

Tragedi helikopter TLDM: Pakar luar mungkin dipanggil bantu lembaga siasatan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan kepakaran luar negara bagi membantu siasatan punca insiden pertembungan dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 kru dan penumpang di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada Selasa lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini, lembaga siasatan insiden itu telah ditubuhkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau berkata, lembaga siasatan terbabit turut dianggotai pakar-pakar penerbangan dan kejuruteraan termasuk wakil syarikat pembuat helikopter terbabit.

“Saya percaya jawatankuasa itu akan mendapatkan kepakaran luar negara apabila ada keperluan kelak.

“Apapun saya memberi kepercayaan penuh kepada jawatankuasa tersebut untuk menyiapkan laporan interim (nahas) dalam masa dua minggu manakala laporan penuh pula dalam tempoh 30 hari bekerja,” katanya di Kampung Dusun Tembakau, Manir di sini hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Pengerusi Bersama Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Terengganu menyerahkan projek Rumah Kasih Ihsan kepada seorang ibu tunggal, Noriani Jaafar @ Hitam, 55.

Mohamed Khaled berkata, matlamat utama penubuhan lembaga siasatan terbabit ialah mengenal pasti punca nahas yang mengorbankan 10 perajurit berkenaan agar ia tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Kosmo! Rabu lalu melaporkan dua helikopter milik TLDM terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Pe­rak.

Nahas pada pukul 9.32 pagi itu menyebabkan 10 pegawai dan anggota TLDM ter­ma­suk tiga wanita terkorban. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment