Translate

Tuesday, April 30, 2024

Tragedi helikopter TLDM: MB Terengganu tawar kepakaran

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersedia menawarkan kepakaran bagi menyiasat punca nahas membabitkan dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak semalam sekiranya diperlukan.

Beliau yang merupakan pakar kejuruteraan aeroangkasa tidak keberatan membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan secara terperinci berhubung nahas tersebut.

“Tidak siapa mahu tragedi seperti itu berlaku dan saya percaya pihak tentera akan melakukan apa juga untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Banyak perkara perlu dilihat dan segala kemungkinan harus dipertimbangkan (dalam siasatan),” katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, antara elemen yang perlu diambil perhatian ialah sama ada sistem kawalan dua helikopter terbabit masih berfungsi atau sebaliknya sewaktu insiden berlaku.

Bekas Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia itu berkata, siasatan juga harus menjurus tentang kemungkinan-kemungkinan yang berlaku sehingga menyebabkan dua helikopter terbabit gagal dikawal.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri mewakili kerajaan negeri Terengganu merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga 10 anggota tentera yang terkorban dalam tragedi berkenaan.

Kosmo! hari ini melaporkan dua helikopter milik TLDM terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Pe­rak.

Nahas pada pukul 9.32 pagi itu menyebabkan 10 pegawai dan anggota TLDM ter­ma­suk tiga wanita terkorban. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment